BEIJING – Sebuah kereta ‘supercar ‘elektrik bernilai AS$3 juta (RM12 juta) buatan gergasi automotif China, BYD terbabas dan merempuh penghadang litar pada kelajuan 360 kilometer sejam (km/j) dalam sesi ujian berkelajuan tinggi, lapor laman berita VNExpress.
Kereta Yangwang U9 Xtreme yang memegang gelaran kereta produksi terpantas dunia itu rosak teruk, namun pemandunya selamat tanpa kecederaan serius, baru-baru ini.
Menurut portal berita CarNewsChina, rakaman video dan gambar yang tular memaparkan jentera berkuasa tinggi itu merempuh penghadang di sebuah litar ujian tertutup.
Impak rempuhan amat kuat menyebabkan bahagian hadapan dan belakang kereta remuk, dengan gandar belakang turut tercabut.
Pemandunya, Jiang Wen, yang berkhidmat bersama BYD selama 23 tahun, berjaya keluar daripada kenderaan bersendirian tanpa bantuan pasukan kecemasan.
Memetik portal teknologi IT Home, Wen ketika itu menguji kenderaannya pada kelajuan antara 420 hingga 450 km/j sebelum ia tiba-tiba hilang kestabilan. – AGENSI
















