LONDON – Kebangkitan semula Viktor Gyokeres membuka lembaran baharu buat Arsenal untuk mengekalkan dominasi dan aksi hebat di pentas Liga Perdana Inggeris musim ini.
Persembahan meyakinkan Gyokeres ketika membantu The Gunners menewaskan Slavia Prague 2-1 pada aksi Liga Juara-Juara, kelmarin pastinya memberi tekanan kepada pengendali, Mikel Arteta untuk membuat keputusan penting di bahagian serangan bagi melayan kunjungan Hull City, malam ini.
Satu bantuan gol dan satu jaringan ketika menewaskan Slavia Praha membuktikan penyerang Sweden itu mahu menjadi antara watak penting kepada Arsenal sekali gus boleh mencabar kedudukkan Kai Havertz.
Gyokeres yang sebelum ini bergelut mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pastinya mahu menggunakan peluang menentang Hull untuk membuktikan bahawa persembahan di pentas Eropah bukan sekadar satu kebetulan.
“Itu adalah tugas saya sebagai penyerang dan sudah pasti saya mahu menyumbang dalam setiap perlawanan apabila berada di atas padang dan mahu terlibat sebanyak mungkin dalam serangan,” katanya.
The Gunners yang tidak tewas dalam lapan perlawanan terakhir di semua pertandingan sedang memimpin carta Liga Perdana Inggeris dengan 24 mata, berkelebihan tiga mata berbanding Manchester City di tempat kedua.
Ketika Arteta turut memuji kualiti yang dimainkan oleh Gyokeres, perhatian menjurus kepada keputusan yang bakal dibuat oleh pengurus itu, khususnya membabitkan persaingan sihat antara bintang Sweden berkenaan dan Havertz. – AGENSI
















