TAPAH – Program Jom Semarak Subuh Seperti Solat Jumaat yang melibatkan 14 buah masjid di daerah ini mendapat sambutan hangat dengan kehadiran lebih 200 jemaah tanpa mengira peringkat umur termasuk kanak-kanak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru (M) Ayer Kuning, Zamzuree Mohd. Isa berkata, lebih 200 kariah di Masjid Jamek Ayer Kuning datang ke masjid seawal pukul 5.30 pagi.
“Malah ada kanak-kanak seawal usia enam tahun hadir awal bersama ibu bapa masing-masing. Ini merupakan satu perkembangan yang baik dalam memberi pendedahan kepada mereka untuk mencintai masjid. Selain itu, orang muda termasuk remaja turut bersama-sama menunaikan solat subuh berjemaah,” katanya hari ini.
Katanya, selain solat subuh, terdapat pengisian ceramah agama dan para jemaah turut menikmati sarapan yang disediakan di masjid berkenaan.
Beliau berkata, terdapat masjid yang memberikan wang saku kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dalam usaha mendidik golongan tersebut mengimarahkan masjid kariah berdekatan.
Program secara serentak pertama seumpamanya di negara ini merupakan anjuran bersama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir dan JPKK Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning serta Chenderiang.
















