fbpx
Gambar hiasan.

Malaysia jadi sasaran transit dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia dikenal pasti berdepan ancaman dieksploitasi sebagai antara laluan transit bagi aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa, berdasarkan hasil risikan dan tindakan penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, kedudukan geografi yang strategik serta jaringan pengangkutan udara, darat dan maritim yang luas berpotensi dimanfaatkan oleh sindiket jenayah terancang untuk membawa masuk dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan atau dihantar ke negara lain.

Sehubungan itu, kementerian itu memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus mempergiatkan risikan dan operasi penguatkuasaan terhadap keseluruhan rangkaian sindiket, termasuk pembekal, pengatur pergerakan, pembiaya dan pengedar.

“Selain itu, (PDRM) akan memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa serta kawalan di lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat bagi membendung aktiviti penyeludupan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman rasmi Parlimen.

KDN menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang antaranya ingin mengetahui sama ada Malaysia kini menjadi transit sindiket pengeluaran dan pengedaran dadah

Berhubung perkembangan siasatan kes pembantu juruterbang warga Malaysia didakwa menyeludup dadah di Indonesia pada Julai lalu, KDN berkata, lelaki itu kini menjalani proses siasatan oleh pihak berkuasa Indonesia untuk dibuat pertuduhan berkaitan penyeludupan dan pengedaran dadah.

Menjawab dakwaan kemungkinan penglibatan pihak dalaman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kementerian itu berkata, siasatan setakat ini menunjukkan kegiatan tersebut didalangi oleh rangkaian sindiket dari luar tanpa petunjuk penglibatan petugas lapangan terbang.

Siasatan itu dijalankan terhadap aspek keselamatan penerbangan, termasuk Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC), serta membuat semakan pada rakaman televisyen litar tertutup dan imej pengimbas bagasi sebagai sebahagian proses pengumpulan dan pengesahan bukti.

“Berdasarkan hasil siasatan, tiada petunjuk menunjukkan penglibatan mana-mana kakitangan atau pihak dalaman KLIA dalam kegiatan penyeludupan dadah. Semakan turut mendapati prosedur dan langkah keselamatan di KLIA dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, PDRM akan terus memantau perkembangan siasatan sekiranya terdapat bukti baharu yang menunjukkan mana-mana individu bersubahat, membantu atau terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah,” menurut kementerian itu.

KDN menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai status siasatan kes seorang juruterbang warga Malaysia yang didakwa menyeludup 26 kilogram dadah dari KLIA ke Jakarta pada 29 Julai lepas serta penglibatan pihak dalaman di lapangan terbang itu. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN