fbpx
Rangkaian Everyday Craft Coffee memperkenalkan Sumiyaki dan Kinu, dua pilihan kopi baharu yang menambah variasi buat pencinta kopi menikmati minuman kegemaran mereka.

Sedekad FamilyMart, kopi RM3.90 antara pelbagai menu baharu diperkenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Secawan kopi sebelum memulakan tugas, hidangan panas ketika waktu rehat atau ais krim untuk dinikmati bersama insan tersayang. Itulah antara keseronokan dalam rutin harian yang hadir menerusi perkara sederhana.

Memahami keperluan itu, FamilyMart Malaysia terus memperluas pilihan makanan dan minumannya dengan memberi penekanan terhadap kepelbagaian cita rasa, kualiti serta jaminan halal supaya pelanggan dapat menikmati hidangan dengan lebih yakin.

Sempena sambutan ulang tahun ke-10, rangkaian kedai serbaneka itu memperkenalkan konsep Life is Good with FamilyMart yang berteraskan tiga tunjang iaitu Good Choices, Good Quality dan Good Moments.

Ketua Pegawai Eksekutif FamilyMart Malaysia, Chia Lik Khai berkata, perjalanan jenama itu sejak membuka kedai pertama pada 2016 banyak dipengaruhi sokongan pelanggan serta perubahan keperluan dan cita rasa rakyat Malaysia.

Menurutnya, FamilyMart terus menyesuaikan pilihan makanan dan minuman yang ditawarkan, dengan hasrat menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat serta membina kepercayaan mereka.

“Kami meletakkan sepenuh hati dalam apa yang kami lakukan supaya pelanggan dapat mempercayai kami dan menjadikan FamilyMart sebahagian daripada kehidupan harian mereka.

“Kami mahu menawarkan lebih banyak pilihan yang memenuhi keperluan pelanggan, memberikan pengalaman yang berbaloi serta membawa kegembiraan dalam kehidupan seharian mereka,” katanya pada sambutan ulang tahun ke-10 FamilyMart Malaysia di Sunway Pyramid, di sini hari ini.

Lik Khai pada sambutan ulang tahun ke-10 FamilyMart Malaysia di Sunway Pyramid, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

Mengulas usaha memperluas pilihan tersebut, beliau berkata, FamilyMart memperkenalkan dua pilihan kopi, Sumiyaki dan Kinu, bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang berbeza.

Kedua-duanya ditawarkan menerusi rangkaian Everyday Craft Coffee, dengan Sumiyaki diinspirasikan daripada kaedah pemanggangan tradisional Jepun menggunakan arang, menghasilkan rasa kopi yang mantap, pekat dan beraroma panggang untuk penggemar kopi hitam.

Kinu pula menawarkan rasa lebih lembut dan seimbang, sesuai dipadankan dengan susu terutama bagi minuman latte.

Ditawarkan pada harga pengenalan serendah RM0.99 dan selepas itu bermula RM3.90, rangkaian tersebut memberi pilihan kepada pelanggan untuk menikmati kopi berkualiti dalam rutin harian mereka.

Biji kopi Sumiyaki dan Kinu dihasilkan dengan diinspirasikan daripada kaedah pemanggangan tradisional Jepun menggunakan arang. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

Sementara itu, bagi pelanggan yang mengejar masa pada waktu pagi, onigiri dan sandwic menawarkan hidangan yang mudah dinikmati, manakala bento, pasta serta oden melengkapkan pilihan untuk makan tengah hari atau malam.

Kepelbagaian itu memberi ruang kepada pelanggan memilih mengikut selera, bajet dan keperluan masing-masing, sama ada untuk mengisi perut sebelum bekerja atau menikmati hidangan selepas seharian menjalani rutin yang padat.

Antara yang diketengahkan juga adalah Oden FAMee yang menggabungkan pilihan mi dan aneka ramuan oden bersama lima jenis kuah iaitu Classic Fishball, Sukiyaki, Laksa Kahwin, Creamy Mala serta Tom Yum sekali gus membolehkan pelanggan menikmati kelainan rasa sepanjang minggu mengikut kegemaran masing-masing.

Antara pilihan makanan. Sedia dimakan yang ditawarkan di FamilyMart bagi memenuhi cita rasa dan keperluan harian pelanggan. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

Bagi penggemar pencuci mulut pula, FamilyMart memperkenalkan sofuto atau ais krim berperisa brown sugar boba, selain membawa kembali sofuto sea salt susulan permintaan pelanggan.

Dalam masa yang sama, menurut FamilyMart Malaysia, jaminan halal menjadi tonggak utama tunjang Good Quality, seiring penjagaan kualiti, keselamatan makanan dan konsistensi produk dengan kerjasama rapat bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi memastikan pematuhan piawaian meliputi dapur pusat, logistik hingga ke kaunter penyediaan makanan di dalam kedai.

Usaha tersebut turut merangkumi latihan berterusan kepada kakitangan bagi memastikan piawaian berkenaan diterapkan dalam pengendalian dan penyediaan makanan, sekali gus memberi keyakinan kepada pelanggan terhadap hidangan yang dinikmati.

Selain makanan dan minuman, sambutan sedekad itu turut meraikan sokongan pelanggan yang dikenali sebagai FAM menerusi ganjaran, tawaran eksklusif serta promosi ulang tahun.

Antaranya adalah kombo ulang tahun RM10 yang menggabungkan kerepek dan teh FamilyMart Collection, manakala pengguna baharu aplikasi MY FamilyMart ditawarkan pek e-baucar alu-aluan bernilai RM100.

Ahli sedia ada pula boleh menikmati promosi Hari Ahli pada 10 dan 11 November ini, termasuk tawaran istimewa bermula serendah RM0.10.

Orang ramai boleh mengunjungi sambutan ulang tahun berkenaan di Orange Concourse, Sunway Pyramid sehingga 9 November ini untuk mencuba menu baharu dan meneroka pelbagai zon interaktif.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN