SEREMBAN – Polis menahan tiga individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan berhubung kes kematian lelaki warga emas yang dipercayai akibat dipukul baru-baru ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek yang berusia 28 hingga 34 tahun itu mempunyai pertalian persaudaraan dengan mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan pada pukul 10 pagi berhubung satu video tular di media sosial TikTok yang memaparkan mangsa dipercayai didera beberapa individu.
“Mangsa dilaporkan meninggal dunia pada petang 4 Oktober lalu. Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, tular di TikTok memaparkan seorang lelaki memukul belakang badan warga emas yang berada di atas kerusi roda dengan getah paip selepas mangsa dipercayai enggan makan makanan yang disuap.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di Rasah Jaya, Seremban dan proses pengebumian mangsa dihentikan apabila mayatnya diambil untuk tujuan bedah siasat.
Polis turut merampas beberapa barangan termasuk getah paip yang digunakan untuk memukul mangsa, kerusi roda, telefon bimbit dan pakaian yang digunakan. – KOSMO! ONLINE
















