SEOUL – Kementerian Pertahanan Korea Selatan akan mengerahkan pesawat rondaan maritim dan pasukan pelupusan bahan letupan ke perairan berhampiran Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada misi membantu memastikan laluan air itu kekal terbuka.
Pengumuman dibuat ketika Seoul mengekalkan pendirian untuk tidak mengerahkan tentera bagi campur tangan ketenteraan dalam perang Iran, sambil berusaha melindungi perkapalan komersial di laluan maritim antara paling penting di dunia itu.
Perang Amerika Syarikat(AS) -Iran yang bermula 28 Februari lalu telah mengganggu pergerakan kapal dagang di Selat Hormuz, laluan penting untuk bekalan tenaga global dan mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
“Kerajaan merancang untuk meluaskan kawasan operasi unit tentera laut anti lanun Cheonghae yang melindungi kapal komersial di Teluk Aden berhampiran Somalia hingga ke perairan berdekatan Selat Hormuz,” kata seorang jurucakap kementerian pertahanan hari ini.
Kerahan terdiri daripada sebuah kapal pemusnah, pesawat rondaan maritim P-8, pasukan pelupusan bahan letupan (EOD), kapal permukaan tanpa pemandu, kenderaan dalam air tanpa pemandu dan kenderaan kendalian jauh (ROV) untuk penerokaan dasar laut, lapor agensi berita Yonhap.
Perluasan operasi itu bagaimanapun khusus untuk tujuan bukan tempur dengan tentera Korea Selatan akan beroperasi secara bebas daripada pasukan bersekutu Barat.
“Operasi ini akan kekal terhad di perairan terbuka di selatan Oman, dan pesawat rondaan maritim dilarang daripada menyeberangi atau memantau wilayah Iran, perairan wilayah atau bahagian dalam Selat Hormuz,” kata jurucakap sama.
Iran telah memberi amaran kepada Korea Selatan terhadap sebarang penempatan sedemikian selepas Seoul mengesahkan mempertimbangkan sumbangan kepada keselamatannya di Selat Hormuz. – AFP
















