PASIR MAS – Seorang lelaki tidak sempat mengedar 11 kilogram (kg) ganja bernilai RM34,100 selepas motosikal yang dia tunggang terbabas ke dalam laluan berlumpur ketika ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Kasban, Jeram Perdah di sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 8.30 malam itu, suspek yang menunggang motosikal jenis Honda Wave tiada nombor pendaftaran dan dipercayai dibawa dari Thailand sempat melarikan diri ke dalam kawasan semak samun.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pegawai PGA mengekori sebelum mengarahkan penunggang motosikal tersebut berhenti sebelum suspek memecut laju dan terbabas ke jalan berlumpur.
Katanya, pegawai PGA bergegas membuat pemeriksaan pada motosikal tersebut sebelum menjumpai satu beg galas dan satu beg pakaian ditinggalkan selepas suspek melarikan diri.
“Pemeriksaan di dalam beg galas itu membawa kepada penemuan 40 ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 4.4 kg yang dianggarkan bernilai RM13,640. Sebuah lagi beg berisi 60 ketulan dadah sama seberat 6.6 kg dengan anggaran jumlah RM 20,460.
“Semakan mendapati, motosikal yang ditinggalkan oleh suspek tidak mempunyai sebarang rekod dan dipercayai merupakan kenderaan dari Thailand,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kesemua barangan rampasa diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE
















