fbpx
RENTAK Budaya 2026 yang berlangsung di Padang Merbok dihangatkan dengan persembahan memukau daripada Haziq Rosebi dan Kaka. Kemunculan Mat Over turut memeriahkan segmen dikir barat bersama Issey.

Rentak Budaya 2026, denyut seni anak bangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI tengah-tengah hiruk-pikuk kota metropolitan, seni tradisional adakalanya tenggelam dek dominasi muzik moden dan arus hiburan semasa. Namun, pentas Rentak Budaya 2026 di Padang Merbok, Kuala Lumpur malam Jumaat lalu, membuktikan warisan tempatan masih utuh mendapat tempat di hati masyarakat.

Dianjurkan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), acara tersebut membawa misi lebih besar daripada sekadar menghimpunkan penghibur di atas pentas.

Rentak Budaya 2026 berusaha merapatkan jurang antara generasi, mempertemukan seni warisan dengan cita rasa kontemporari serta mengingatkan khalayak bahawa budaya tempatan tidak seharusnya tinggal sebagai nostalgia dalam lipatan sejarah.

Malam pembukaan dimulakan dengan persembahan Gendang Rebana, sekali gus menetapkan rentak awal sebelum pentas diserahkan kepada penghibur seterusnya.
Paluan gendang bergema mengisi ruang, menghadirkan suasana tradisional sebagai pembuka tirai kepada sebuah malam dengan gabungan muzik, kebudayaan dan hiburan.

Kemunculan Haziq Rosebi pula menyuntik warna tersendiri menerusi lagu berirama zapin, termasuk Bunga Hutan dan Nurlela.

Lebih menarik, Haziq turut bergandingan dengan Rosma Sidek menerusi lagu Joget Cinta Sakti, memberikan variasi kepada persembahan malam itu.
Suasana kemudian bertukar lebih rancak menerusi persembahan Dikir Barat oleh Issey dan rakan-rakan. Lebih menarik, pelakon Mat Over turut terlibat dalam pengisian berkenaan.

Elemen berbalas pantun, permainan kata serta lenggok penyampaian menjadi antara keistimewaan seni tradisional itu, membuktikan hiburan tempatan mempunyai kekuatan tersendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada produksi pentas berskala besar.

Bagaimanapun, kemuncak perhatian malam itu turut terarah kepada Kaka Azraff, antara nama popular menghiasi pentas utama menyampaikan lagu Gila, Bukan Hal Aku, Sibuk dan Bawaku Pergi.

Kehadiran penyanyi tersebut membawa dimensi berbeza selepas penonton disajikan dengan persembahan berteraskan tradisi. Peralihan daripada muzik warisan kepada hiburan kontemporari memperlihatkan usaha penganjur menyusun kandungan untuk khalayak dengan minat pelbagai, daripada pencinta seni klasik hingga peminat muzik arus perdana.

Di sinilah terletaknya keistimewaan Rentak Budaya 2026. Acara seumpama itu memberikan ruang kepada penghibur popular untuk berkongsi pentas dengan penggiat seni tradisional, sekali gus membuka peluang kepada khalayak menikmati kepelbagaian muzik tempatan dalam satu kunjungan.

Selain persembahan utama di Padang Merbok, kawasan River of Life turut menawarkan pelbagai aktiviti seni dan budaya dari pukul 10 pagi hingga 10 malam sepanjang tiga hari penganjuran.

Pengunjung berpeluang menyertai bengkel membuat tanjak, batik, kaligrafi dan seni khat, selain menyaksikan demonstrasi tarian zapin, persembahan buskers serta aktiviti interaktif lain.

Pendekatan tersebut wajar dipuji kerana seni tradisional lebih mudah didekati apabila masyarakat diberikan peluang untuk mencubanya sendiri.

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi sebelum ini menyatakan Rentak Budaya diwujudkan sebagai platform untuk menghubungkan artis, penggiat seni dan budaya dengan masyarakat dalam suasana santai serta terbuka.

Hasrat itu selari dengan keperluan industri seni tempatan untuk memperluas ruang kepada penggiat budaya, khususnya mereka dalam bidang tradisional agar terus mendapat perhatian khalayak.

Secara keseluruhan, Rentak Budaya 2026 memperlihatkan usaha bermakna untuk mengangkat seni dan budaya tempatan dalam suasana lebih terbuka, sekali gus mempertemukan penghibur popular dengan khazanah tradisi.

Rentak Budaya mungkin belum boleh dianggap sebagai penanda aras baharu persembahan kebudayaan hanya berdasarkan satu malam penganjuran namun, keberanian menghimpunkan pelbagai cabang seni dalam satu acara memberikan landasan untuk sesuatu yang lebih besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN