SUNGAI BULOH – Seramai 306 penduduk daripada 59 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) selepas beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat awal pagi tadi.
Kejadian yang bermula kira-kira pukul 1 pagi itu turut menyebabkan sebuah jambatan di Kampung Kubu Gajah runtuh akibat hakisan tebing sungai berhampiran.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian itu menyebabkan laluan utama yang menghubungkan Kampung Kubu Gajah dengan Kampung Paya Jaras Hilir ditutup sepenuhnya atas faktor keselamatan.
Menurut beliau, antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Kubu Gajah, Kampung Merbau Sempak, Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Paya Jaras Dalam dan Rumah Murah PKNS.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling menyediakan laluan alternatif melalui Jalan Merbau Sempak dari FT54 ke Kampung Kubu Gajah serta Jalan Paya Jaras Hilir dari FT54 ke Kampung Paya Jaras Hilir.
“Kerja-kerja pembaikan tebing sungai yang rosak dianggarkan mengambil masa antara dua hingga tiga minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa banjir terlibat ditempatkan di Dewan Seri Pagi MPSA, Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak dan Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang.
Sementara itu, sebanyak 356 laporan polis berkaitan kejadian banjir diterima Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh sehingga pukul 2 petang. – KOSMO! ONLINE















