BANJIR besar yang melanda Hatyai, Thailand pada November tahun lalu masih membayangi sektor pelancongan bandar itu susulan kebimbangan pelancong Malaysia terhadap kemungkinan kejadian sama berulang.
Meskipun Hatyai kekal sebagai destinasi pilihan rakyat negara ini, risiko banjir ketika musim hujan menimbulkan persoalan mengenai keselamatan perjalanan, penginapan dan pergerakan pelancong.
Pengalaman tahun lalu menunjukkan bagaimana percutian dirancang bertukar menjadi situasi mencemaskan dengan ramai pelancong terkandas di hotel selain berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan dan bergerak ke kawasan selamat.
Dalam bencana itu, lebih 6,000 rakyat Malaysia yang terkandas berjaya diselamatkan. Operasi evakuasi dijalankan dalam keadaan amat mencabar, termasuk arus deras dan paras air yang tinggi serta gangguan komunikasi.
Selain itu, banyak kenderaan yang rosak akibat ditenggelami air termasuk di parkir bawah tanah hotel sehingga terpaksa ditunda keluar ke Malaysia menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam.
Ia sekali gus memberi kesan kepada keyakinan pelancong untuk membuat tempahan awal, khususnya menjelang musim cuti hujung tahun yang menjadi antara tempoh kunjungan utama rakyat Malaysia.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi baru-baru ini menasihatkan mereka yang mahu ke Thailand khususnya sepanjang musim hujan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca selain mengambil perlindungan insurans perjalanan mencukupi.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla, Dr. Sitthipong Sitthiphataraprabha berkata, kadar penginapan hotel pada September lalu sekitar 70 peratus, manakala Oktober kira-kira 60 peratus.
“Kebanyakan pengunjung membuat tempahan ketika ini terdiri daripada pelancong individu berbanding kumpulan pelancongan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, tempahan awal bagi bulan ini dan Disember pula adalah lebih rendah daripada kebiasaan kerana ramai pelancong masih menunggu perkembangan keadaan banjir sebelum membuat keputusan perjalanan.
“Jumlah tempahan awal hotel bagi tempoh cuti Tahun Baharu berbeza mengikut tahun, namun lazimnya mencatatkan purata sekitar 40 hingga 50 peratus pada peringkat ini.
“Bagaimanapun, tempahan awal bagi sambutan Tahun Baharu akan datang masih agak rendah kerana ramai pelancong dan pengusaha pelancongan menunggu perkembangan situasi banjir sebelum membuat keputusan akhir untuk melancong.
“Pihak berkuasa kerajaan juga memberi jaminan kepada orang ramai bahawa langkah pencegahan dan persediaan menghadapi banjir secara menyeluruh telah dilaksanakan,” katanya.
Justeru, pihaknya menjangkakan tempahan akan kembali meningkat menjelang penghujung tahun apabila pelancong semakin yakin dengan keadaan semasa.
“Sekiranya banjir dapat dielakkan, kami menjangkakan aktiviti pelancongan dan ekonomi tempatan sepanjang sambutan Tahun Baharu akan datang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding tahun lalu,” tambahnya.
















