fbpx
REPUTASI SSI sebagai venue bertaraf antarabangsa juga menjadi antara faktor pemilihan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

SSI dipilih aksi final Piala FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUALA LUMPUR – Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menjadi pilihan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai venue final Piala FA yang dijadualkan berlangsung 16 Januari 2027.

Keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Ketiga Bagi Penggal 2025-2029, semalam berikutan Stadium Nasional tidak dapat digunakan kerana kerja-kerja menaik taraf padang, trek balapan dan fasiliti sedang dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan SEA 2027.

“Berdasarkan pengesahan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), kerja-kerja naik taraf itu dijangka siap pada Mei 2027.

“Oleh hal demikian, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan untuk memilih SSI sebagai venue final Piala FA dengan mengambil kira beberapa faktor penting bagi memastikan kelancaran penganjuran perlawanan akhir berprestij itu, termasuk keadaan permukaan padang, pengurusan logistik, kemudahan penginapan pasukan serta fasiliti stadium yang merangkumi pentas utama, corporate suite, akses ke stadium, aspek keselamatan serta operasi produksi siaran langsung.

“Dengan berkapasiti 35,109 penonton serta fasiliti lengkap dan terbaik menjadikan SSI adalah venue pilihan selepas penutupan Stadium Nasional bagi acara sukan ketika ini,” menurut kenyataan MFL.

Reputasi SSI sebagai venue bertaraf antarabangsa juga menjadi antara faktor pemilihan ini di mana stadium itu pernah menganjurkan perlawanan melibatkan Harimau Malaya antaranya ketika menentang Palestin bagi aksi persahabatan, 8 September 2025 dan aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal pada 25 Mac 2025.

Untuk rekod, SSI juga pernah menjadi venue perlawanan akhir Piala FA 2023 yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan keputusan 2-0.

Justeru, penganjuran perlawanan akhir Piala FA 2026/27 di SSI bakal menyaksikan stadium berkenaan sekali lagi menjadi pentas pertembungan dua pasukan terbaik yang akan berentap bagi merebut trofi kejuaraan.

“MFL berharap pemilihan SSI sebagai gelanggang perlawanan akhir dapat memberikan pengalaman terbaik kepada kedua-dua pasukan dan penyokong yang akan hadir menyaksikan aksi kemuncak Piala FA itu nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN