fbpx
ADZLI menunjukkan tiga suspek warga Pakistan yang ditahan dalam operasi ke atas calling centre di Sungai Petani pada kelmarin. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Gaji RM3,600 ‘pikat’ buruh asing kerja ‘calling centre’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Tawaran gaji lumayan bagi pekerjaan yang dilihat lebih mudah dipercayai menjadi antara faktor mendorong warga asing terjebak dalam kegiatan pusat panggilan (calling centre) bagi aktiviti perjudian dalam talian dan penipuan di negeri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, perkara itu dikesan susulan penahanan tiga lelaki Pakistan di sebuah rumah kedai yang dijadikan pusat panggilan perjudian dalam talian di Sungai Petani kira-kira pukul 12.25 tengah malam kelmarin.

Katanya, tiga suspek berusia antara 21 hingga 23 tahun itu sebelum ini bekerja sebagai buruh binaan dan pelayan restoran nasi kandar sebelum ditawarkan gaji RM3,600 seorang untuk mengendalikan operasi pusat panggilan termasuk menambah nilai kredit perjudian.

“Mereka mempunyai dokumen perjalanan sah tetapi telah tamat tempoh kerana tinggal lebih masa. Dua suspek memasuki negara ini pada 2023, manakala seorang lagi pada Jun lalu.

“Mereka bekerja di Johor dan Melaka sebelum datang ke Sungai Petani selepas menerima tawaran untuk bekerja di pusat panggilan itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Malah, katanya, seorang daripada suspek pernah bekerja sebagai penambah nilai kredit perjudian dalam talian di Kemboja.

Menurut Adzli, dalam tempoh kira-kira tiga bulan, sindiket yang menyasarkan pasaran perjudian di Nepal itu telah memperoleh keuntungan sebanyak AS$47,505 (RM193,675).

“Suspek mendakwa terdapat kira-kira 26 kasino yang dilesenkan di Nepal, namun penduduk tempatan di situ tidak dibenarkan untuk turut serta dalam aktiviti tersebut. Jadi bila ada tawaran sebegini, ia mendapat sambutan,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan seorang warga tempatan yang dipercayai mengendalikan operasi pusat panggilan itu termasuk menggajikan ketiga-tiga suspek.

Dalam operasi bersama pasukan Seal Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu, premis berkenaan turut dikesan melakukan penyambungan elektrik secara haram bagi memaksimumkan keuntungan.

Ketiga-tiga suspek direman dari 2 hingga 15 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Sementara itu, beliau berkata, polis Kedah melumpuhkan tujuh kumpulan sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi menerusi pusat panggilan pada tahun ini sehingga bulan lalu, membabitkan 87 tangkapan terdiri daripada warga tempatan, China, Pakistan dan India. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN