NILAI – Seorang gadis membuktikan keterbatasan pendengaran bukan penghalang baginya menamatkan pengajian untuk meraih segulung ijazah walaupun berdepan cabaran sebagai mahasiswa orang kurang upaya (OKU).
Lebih manis apabila Syaza Athirah Sailan@Sazali, 27, turut menerima Anugerah Khas Yayasan Faqeh sempena Majlis Konvokesyen ke-24 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini.
Anak jati Muar, Johor itu menerima Ijazah Sarjana Pengajian Quran dan Sunnah sekali gus membuktikan keterbatasan yang dialaminya tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus menuntut ilmu.
“Saya mengakui mempunyai kekurangan pada diri, namun ia tidak pernah menjadikan alasan untuk saya mengejar kejayaan.
“Ditambah dengan sokongan daripada penyelia, Prof. Madya Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad dan Dr. Mohd Nur Adzam Rasi, turut menjadi antara kekuatan yang membantu saya meneruskan pengajian dengan lebih yakin tanpa tekanan berlebihan,” katanya ketika dihubungi.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, persekitaran akademik yang memahami keperluan pelajar OKU amat penting bagi memastikan golongan itu turut mendapat peluang untuk berkembang dan mencapai potensi masing-masing.
Selain kejayaan akademik, anugerah yang diterimanya merupakan pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam memperkasakan pendidikan al-Quran dan fardu ain dalam kalangan komuniti OKU.
Antara sumbangannya termasuk penglibatan dalam bahasa isyarat bacaan al-Quran sempena Majlis Konvokesyen USIM 2026, sekali gus membantu membuka ruang kepada komuniti OKU pendengaran untuk menghayati dan mempelajari al-Quran menerusi pendekatan lebih inklusif.-KOSMO! ONLINE.
















