GEORGE TOWN – Tindakan penyembelihan ayam tanpa mengikut hukum syarak tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan bekalan makanan kepada masyarakat Islam secara meluas.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, ia bukan sahaja satu penipuan yang serius tetapi melibatkan pelanggaran hukum Allah SWT.
Katanya, perbuatan itu jelas bukan sahaja mencabul hukum syarak, bahkan mengkhianati pengguna Islam.
“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan paling tegas dan setimpal terhadap individu atau syarikat sekiranya dakwaan itu terbukti benar.
“Siasatan menyeluruh perlu dilakukan terhadap keseluruhan rangkaian operasi termasuk pengusaha pusat penyembelihan, pemproses, pembekal, pengedar serta individu yang mengetahui kegiatan penyelewengan itu tetapi membiarkannya berterusan,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau mengulas pendedahan kegiatan pemprosesan ayam yang diragui status halalnya di sebuah gudang di Puchong, Selangor, selepas haiwan berkenaan dipercayai mati akibat kejutan air berarus elektrik sebelum disembelih.
Menurut Mohd. Sukki, pemilik dan pengurusan operasi juga perlu disiasat supaya mereka tidak terlepas selepas mendapat keuntungan besar.
Tambahnya, tindakan tidak hanya terhenti kepada rampasan, penutupan atau kompaun sebaliknya perlu dibawa ke mahkamah jika terdapat unsur penipuan yang disengajakan.
“Lesen operasi wajar disemak dan pemeriksaan berkala perlu ditingkatkan bagi memastikan pematuhan syarak,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Sukki menggesa kerajaan mewajibkan semua pusat penyembelihan dan pemprosesan haiwan ternakan mendapatkan sijil pengesahan halal Malaysia.
“Kerajaan perlu menilai semula pendekatan pensijilan halal yang ketika ini secara umumnya berasaskan permohonan sukarela bagi pengusaha tempatan.
“Jika produk daging dan ayam import perlu ada sijil halal Jakim, mengapa pendekatan setara tidak diwajibkan terhadap semua produk tempatan yang dibekalkan kepada pengguna Islam,” katanya.
Ujar Mohd. Sukki, pengguna tidak seharusnya dibebankan dengan tanggungjawab untuk memastikan sendiri status halal kerana mereka tidak mempunyai kemampuan memeriksa proses penyembelihan.
“Bagaimanapun, tiada sijil halal tidak semestinya bermaksud sesuatu ayam atau daging itu haram kerana status halal pada asasnya ditentukan berdasarkan pematuhan terhadap hukum syarak,” katanya.
Jelasnya, cadangan itu bukan bertujuan membebankan pengusaha, sebaliknya melindungi pengguna serta menjaga integriti industri halal negara.














