PENCAPAIAN beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah sepanjang saingan musim ini tetap memuaskan hati ketua jurulatih beregu wanita kebangsaan, Rosman Razak walaupun masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.
Bagi Rosman, beliau lebih mengharapkan aksi lebih konsisten daripada anak-anak buahnya sama seperti yang dipamerkan pada saingan musim lalu, terutamanya dari segi corak permainan di dalam gelanggang.
Beliau berkata, Pearly-Thinaah berdepan prestasi turun naik sepanjang musim 2026, namun penurunan prestasi dilihat lebih ketara jika dibandingkan dengan corak permainan mereka tahun lalu.
“Sepanjang saingan musim ini, mereka ada berdepan turun naik, tetapi mereka berjaya melangkah ke empat final yang boleh dikatakan lebih kurang sama dengan pencapaian pada tahun lalu.
“Bagaimanapun, bezanya adalah saya rasa penurunan itu sangat ketara. Saya lebih suka mereka berada dalam situasi yang konsisten seperti melangkah ke separuh akhir ataupun perlawanan akhir,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Pada saingan musim ini, gandingan No. 4 dunia itu berjaya melangkah ke empat perlawanan akhir termasuk ketika muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia dan Terbuka Denmark.
“Sudah tentu saya gembira dengan prestasi Pearly dan Thinaah. Seperti saya cakap sebelum ini, mereka berdepan masalah kecederaan kerana ianya belum 100 peratus (pulih) tetapi tetap berusaha untuk keluar dari zon itu,” ujarnya.
















