SUBANG JAYA – Seramai 789 penduduk daripada 325 keluarga terjejas akibat kejadian banjir kilat susulan hujan lebat di Kampung Melayu Subang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, hujan lebat yang bermula kira-kira pukul 4 petang menyebabkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan sekitar kampung berkenaan.
“Antara kawasan terjejas ialah Jalan Jati, Jalan 4D dan Lorong 5D di Kampung Baru Subang, Jalan SP 1/8 Taman Subang Perdana serta Pangsapuri Seri Nilam, Subang Permai.
“Turut terjejas ialah Jalan Merbau, Jalan Bukit Badak, Jalan Airport Lama dan Jalan Tembusu di Kampung Melayu Subang, selain Lot 2800 Taman Setia Warisan serta Jalan Ikhlas, Desa Subang Perantau Dua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor setakat pukul 1 tengah hari, hari ini, seramai 30 penduduk daripada lapan keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang.
Bagaimanapun, jumlah keseluruhan penduduk yang terjejas direkodkan seramai 789 orang daripada 325 keluarga.
Sementara itu, Balai Polis Kampung Baru Subang menerima sebanyak 91 laporan polis berkaitan kejadian banjir itu setakat pukul 1 tengah hari, hari ini.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap perkembangan cuaca semasa serta mendapatkan maklumat tepat dan sahih melalui platform rasmi yang diiktiraf berikutan fenomena Monsun Timur Laut yang sedang melanda. – KOSMO! ONLINE
















