PETALING JAYA – Perdana Menteri mengakui Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mempunyai prestasi yang baik, namun itu tidak mengecualikan beliau daripada undang-undang.
Anwar berkata, tindakan diambil terhadap Mohd. Shuhaily dibuat mengikut proses perundangan sewajarnya selepas siasatan kes membabitkan beliau dijalankan.
“Jika tanya saya dari secara peribadi, saya bersimpati dengan beliau tetapi proses itu, bila ada dakwaan, sama ada daripada orang ramai atau polis, itu soal siasatan.
“Jangan minta saya atau Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) campur tangan sampai ke situ,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta penjelasan mengapa Mohd Shuhaily ditukarkan semula ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menggesa supaya beliau terus menerajui AKPS.
Tambah Anwar, cuma sekarang ini dalam kes Mohd Shuhaily, jika didapati oleh pihak pendakwaan bahawa ada kes untuk didakwa, beliau dakwa dan mengikut proses ikut peraturan negara.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi atau mengamalkan sikap dwistandard terhadap mana-mana pegawai penguat kuasa yang didapati melanggar undang-undang, walaupun individu itu memiliki rekod prestasi cemerlang.
Beliau memberikan contoh peristiwa pada 1998 apabila bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor tetap dihukum penjara susulan insiden memukul tahanan.
“Kita kena ingat, betapa baik pun mana-mana pegawai, dia mesti ikut peraturan. Kalau ada dakwaan atau tuduhan seseorang itu didera, dia (perlu) mengikut proses.
“(Ahli Parlimen) Arau tahu, (pada) 1998 Ketua Polis Negara dipenjara kerana memukul seseorang. Apakah dia tidak ada jasa? Dia ada jasa. Jadi kita ada dua perkara, iaitu kerja mesti profesional, tapi kalau ada tindakan yang melanggar undang-undang, itu kena ikut proses,” tambahnya.
















