PETALING JAYA – Hujan lebat luar biasa dalam tempoh singkat di sekitar Shah Alam termasuk Kampung Melayu Subang petang semalam menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Jasonyew berkata, berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), purata hujan yang direkodkan petang semalam adalah sekitar 116.5 milimeter (mm).

Jelas beliau, jumlah tersebut adalah bersamaan purata hujan untuk tempoh dua hingga tiga hari.
“116.5mm dalam sehari! Biasanya jumlah hujan sekitar 116mm terkumpul dalam tempoh 2 hingga 3 hari. Tetapi kali ini semuanya direkodkan dalam sehari,” kongsinya.
Tambah Jasonyew, keadaan diburukkan lagi dengan keadaan sistem saliran yang tersumbat dan aliran sungai yang tidak dapat menampung jumlah hujan yang banyak sekali gus.
“Bukan sekadar longkang tersumbat! Hujan 116.5mm sehari, Sungai Damansara naik 18.88 meter (m) melepasi paras bahaya 17.40m.
“Bila sungai melimpah dan saliran tak mampu menampung aliran air, kawasan perumahan rendah mula ditenggelami banjir.
“Hujan terlalu lebat ditambah sungai melimpah serta air gagal mengalir keluar maka hasilnya banjir teruk,” jelasnya.
Kosmo! semalam melaporkan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam dinaiki air sehingga paras paha dan banyak laluan tersekat ekoran hujan lebat pada sebelah petang.
Antara kawasan yang teruk terjejas termasuk Kampung Melayu Subang, TTDI Jaya, Seksyen 13, Bukit Jelutong serta laluan di Lebuh Raya Guthrie. -KOSMO! ONLINE
















