fbpx
BOUMOUS meledak gol tunggal Selangor ketika pasukan itu berjaya membenam Star City kelmarin. - FB SELANGOR FC

Liga Super: Selangor mula yakin gapai impian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELANGOR FC semakin berani memasang impian untuk mencabar takhta Liga Super selepas mempamerkan permulaan cukup sempurna dengan melakar enam kemenangan berturut-turut musim ini.

Jurulatih Gergasi Merah, Kim Pan-gon mengakui cita-cita untuk berada di puncak liga bukan lagi sekadar angan-angan selepas pasukan melakar kemenangan 1-0 ke atas Star City, kelmarin.

Menurut Pan-gon, kejayaan mengutip 18 mata daripada enam perlawanan membuktikan barisan berada pada landasan tepat untuk merealisasikan hasrat tersebut.

“Setiap jurulatih dan kelab pasti bermimpi untuk berada di puncak liga. Kami mahu mencabar kedudukan teratas dan setakat ini saya fikir perjalanan pasukan cukup baik.

“Kami tahu cabaran ini bukan mudah, tetapi kami mahu bersaing dengan bijak dan terus memperbaiki kelemahan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Pada aksi di Stadium MBPJ itu, jaringan tunggal Hugo Boumous sudah cukup untuk memastikan Selangor berkongsi 18 mata dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pendahulu liga ketika ini.

Mengulas lanjut, Pan-gon turut menyifatkan keupayaan pemain meraih kemenangan meskipun berdepan situasi sukar termasuk layangan kad merah ke atas Chrigor Moraes sebagai bukti kekuatan mental pasukan.

Bagaimanapun, pengendali dari Korea Selatan itu tidak mahu dibuai kejayaan apabila mengakui masih terdapat aspek permainan yang perlu diperbaiki.

“Kami mempunyai peluang kedua, ketiga dan keempat untuk menjaringkan gol, tetapi gagal menyempurnakannya. Perkara ini perlu diperbaiki jika mahu menjadi pasukan berkualiti dan lebih kompetitif,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN