JAKARTA – Polis Negara Republik Indonesia secara rasmi melarang semua anggota dan pegawainya menggunakan rokok elektronik, atau vape, lapor laman berita Tempo.
Peraturan baharu ini digariskan di bawah Surat Pekeliling Nombor: SE/9/X/2026 berhubung Larangan Penggunaan Vape di Persekitaran Polis Negara Indonesia.
Langkah tersebut disahkan ketua Biro Maklumat Awam Bahagian Hubungan Awam Polis Negara Indonesia, Brigedier Jeneral Trunoyudo Wisnu Andiko.
“Ini betul. Ia telah berkuat kuasa mulai 30 Oktober 2026,” katanya kepada Tempo semalam.
Keputusan untuk mengharamkan vape daripada institusi polis adalah sebahagian daripada komitmen Ketua Polis Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto bagi larangan menyeluruh terhadap rokok elektronik berikutan penyalahgunaan narkotik yang berleluasa menyamar sebagai cecair vape.
Suyudi turut menekankan tentang risiko kesihatan yang berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik.
“Justeru, pekeliling ini berfungsi sebagai pendirian proaktif Polis Indonesia untuk menunjukkan teladan sebagai sebuah institusi yang sememangnya melarang penggunaan vape,” kata Trunodoyo.
Larangan itu bukan sahaja terpakai kepada pegawai polis, malah diperluaskan kepada pekerja lain di institusi polis. Larangan vape itu juga dikuatkuasakan ke atas tetamu dan pelawat.
“Kami akan memperluaskan amaran untuk tidak menggunakan vape di persekitaran kerja Polis Indonesia,” katanya. – AGENSI
















