fbpx
Tangkap layar video dashcam memperlihatkan seorang kanak-kanak terjatuh dari sebuah SUV di satu simpang di Sungai Petani, pada pagi tadi.

‘Tolong ye ibu bapa, aktifkan child lock kereta’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak terjatuh dari sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di satu simpang berdekatan sebuah institut kemahiran di Sungai Petani, Kedah.

Kejadian itu dirakam menerusi kamera papan pemuka atau dashcam yang menunjukkan ia berlaku pada pukul 8.08 pagi tadi dan rakaman itu dimuat naik seorang pengguna Threads Najian_shbudin.

Berdasarkan video tersebut, pemilik dashcam itu berada di belakang SUV berkenaan dan sebaik tiba di satu simpang dan belok ke kiri, pintu SUV itu terbuka dan seorang kanak-kanak terjatuh di atas jalan.

Kanak-kanak tersebut bangun, manakala seorang lelaki dipercayai bapanya yang berada di tempat pemandu segera keluar dan mengambilnya masuk ke dalam kenderaan itu.

“Wahai ibu ayah kat luar sana, hati-hati ye yang mana ada anak kecil. Saya yang kat belakang terkejut rasa. Harapnya adik tu okey je lah. Seramnya la duk fikir kita pun ada anak kecil,” kata Najian_shbudin menerusi hantaran video tersebut.

Ia mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna Threads, selain ada yang berharap golongan ibu bapa turut mengambil pengajaran daripada kejadian itu.

“Tolong ye ibu bapa, beli kereta mahal-mahal, aktifkan child lock (kunci keselamatan kanak-kanak). Malang tak berbau. Biarlah susah sikit nak buka pintu tu, janji anak-anak selamat,” komen pengguna Threads Azwajefree.

“Allahuakbar, syukur tak ada apa. Peringatan juga untuk selalu aktifkan child lock lepas ni,” kata Zakiraafina.

“Ibu bapa tolong, gunakan tempat duduk khas kanak-kanak dan aktifkan child lock. Tak nak guna child lock, guna tempat duduk khas. Kalau guna dua-dua, anda ibu bapa terbaik,” kata Thezyzy. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN