fbpx
HAKIM Danish berjaya mempamerkan aksi membanggakan biarpun terpaksa akur menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat saingan Moto3 semalam.

Moto3: Belum rezeki podium di Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli tetap berpuas hati dengan persembahannya pada Grand Prix (GP) Malaysia meskipun terlepas peluang menaiki podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Memulakan perlumbaan dari petak ketiga, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mempamerkan aksi kompetitif apabila memberikan saingan sengit kepada kelompok hadapan sejak awal perlumbaan

Percubaannya untuk melakukan pintasan di selekoh terakhir menyebabkan jenteranya sedikit tersasar, sekali gus membuka ruang kepada pelumba Red Bull KTM Ajo Alvaro Carpe untuk memintasnya dan meraih tempat ketiga dengan kelebihan 0.226 saat.

Anak jati Terengganu itu mengakui sudah memberikan segala-galanya, malah terus berjuang memburu kedudukan podium sehingga ke penghujung saingan sebelum hasratnya tidak kesampaian dan perlumbaan tersebut dimenangi pelumba Sepanyol, Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team).

Tempat kedua menjadi milik pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama (Honda Team Asia) yang cemerlang menggunakan kelebihan di laluan lurus.

“Saya sangat gembira kerana dalam perlumbaan hari ini saya sudah memberikan yang terbaik. Saya bertarung dari awal hingga tamat perlumbaan dan sudah tentu saya mahukan podium.

“Namun, saya terlepas peluang itu selepas cuba melakukan pintasan di selekoh terakhir sebelum sedikit terbabas. Apa pun, saya sudah cuba memberikan yang terbaik buat semua penonton, keluarga dan pasukan,” katanya.

Walaupun gagal mengulangi pencapaian mentornya yang juga pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, yang pernah menamatkan GP Malaysia di tempat kedua pada 2012, Hakim Danish percaya peluang untuk menaiki podium masih terbuka.

Dia kini menghuni kedudukan kesembilan kejuaraan dunia Moto3 dengan 116 mata, manakala pemenang perlumbaan, Maximo Quiles, terus mengukuhkan kedudukan teratas dengan 376 mata.

Menerusi baki tiga perlumbaan musim ini, Hakim Danish tidak mahu mengalah dan yakin masih berpeluang kembali menaiki podium, malah memburu kemenangan sebelum tirai kejuaraan 2026 dilabuhkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN