Seramai 101 peserta daripada 12 pasukan telah menyertai Program CommFest: Nukilan Lentera anjuran mahasiswa semester tujuh dan lapan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Korporat), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Selangor baru-baru ini.
Pertandingan itu diadakan bagi memenuhi keperluan kursus Projek Akhir Komunikasi di bawah Fakulti Pendidikan, Sains Sosial dan Kemanusian (FESSH) yang melibatkan seramai 36 mahasiswa.
Pengarah program berkenaan, Dayana Safiyya berkata, CommFest: Nukilan Lentera yang bertemakan ‘Dari Lensa, Demi Malaysia’ itu merupakan pertandingan filem pendek yang menggabungkan elemen komunikasi, kreativiti dan semangat patriotisme melalui medium penceritaan visual.
Menurut pelajar FESSH itu, program berkenaan melibatkan 12 pasukan, dengan enam pasukan bagi kategori Terbuka dan enam lagi pasukan dalam kategori Sekolah.
“Pertandingan ini memberi peluang kepada peserta untuk mengasah bakat dan kreativiti dalam penghasilan filem pendek yang mengangkat nilai patriotisme, perpaduan, kepelbagaian budaya, warisan serta identiti Malaysia.
“Selain itu, Industry Sharing Session diadakan bersama Azmi Jamsari sebagai fasilitator bagi sesi tersebut.
“Dia memberikan perkongsian berkaitan industri perfileman kepada peserta,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Menariknya, program itu diserikan dengan kehadiran pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki.
Untuk makluman, pertandingan filem pendek itu dinilai oleh barisan juri yang terdiri daripada Muhammed Izzat Hasan, Prof. Madya Dr. Aminah Abd Rhapor, Vanidah Imran dan Taufiq Hanafi, manakala Faizal Ariff berperanan sebagai ketua juri.

Bagi kategori Terbuka, Kibo Visuals telah dinobatkan sebagai johan, diikuti Attarfilmworks Production (naib johan) dan PSV Karsa (ketiga).
Bagi kagi kategori Sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba berjaya merangkul johan, diikuti SMK Sultan Abdul Samad (naib johan) dan SMK Tengku Ampuan Jemaah (ketiga).
“Kami berharap CommFest: Nukilan Lentera bukan sekadar sebuah pertandingan filem pendek, tetapi menjadi pentas yang memberi ruang kepada generasi muda untuk menyuarakan identiti, semangat dan cerita Malaysia melalui karya kreatif,” katanya.
Tambah Dayana Safiyya, secara keseluruhannya, CommFest: Nukilan Lentera telah menjadi satu platform yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi idea, kreativiti dan perspektif melalui medium filem pendek.
“Penganjuran program ini juga memberi pengalaman kepada para siswa UPTM dalam mengaplikasikan pengetahuan komunikasi serta kemahiran pengurusan acara dalam situasi sebenar.
“Program ini diharapkan dapat terus memberi ruang kepada generasi muda dan masyarakat untuk menghasilkan karya kreatif yang bukan sahaja menghiburkan, malah membawa mesej positif,” katanya.
Sementara itu, program tersebut telah mendapat sokongan daripada pihak Persatuan Pengarah Filem Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Penganjuran CommFest: Nukilan Lentera juga mendapat sokongan syarikat dan organisasi seperti HYGR Sdn. Bhd., Neatness Group Sdn. Bhd., Land Serve, Metadata Systems Sdn. Bhd., R2U Aircond & Renovation, M&S Everyday Fashion serta KNK Industries.
Dalam pada itu, pensyarah serta penasihat program CommFest: Nukilan Lentera, Dr. Aida Suhana Abdul Hamid berkata, pembelajaran tidak seharusnya terhad di dalam bilik kuliah sahaja.
“Melalui program ini, para pelajar berpeluang belajar melalui pengalaman sebenar, menghadapi cabaran penganjuran program dan mengasah kemahiran yang diperlukan oleh industri.
“Kami mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan akademik, bahkan berkemahiran, kreatif, yakin dan mampu melaksanakan tugas secara profesional,” katanya.
















