SAUDARA PENGARANG,
PENANTIAN hampir 10 tahun penduduk Pantai Timur bakal berakhir dengan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijadual mula beroperasi secara rasmi pada 12 Disember ini.
Orang Terengganu sudah pastinya teruja kerana ini pertama kali sistem pengangkutan kereta api beroperasi di negeri ini setelah berakhirnya perkhidmatan kereta api Bukit Besi, Dungun pada tahun 1971.
Namun, timbul juga kerisauan tentang kemudahan akses berikutan kebanyakan enam stesen ECRL terutama Kuala Terengganu, terletak agak jauh sehingga kira-kira 23 kilometer dari pusat bandar terdekat dan destinasi-destinasi pelancongan popular.
Tambang e-hailing ke pusat bandar raya Kuala Terengganu dari Stesen ECRL Kuala Terengganu yang terletak
di Durian Guling, Marang pula dikatakan dianggarkan RM30 sehala dan ia tidak ekonomikal.
Sehubungan itu, alangkah baiknya sekiranya pihak berwajib turut mengambil pendekatan proaktif mempercepatkan perkhidmatan bas pengantara yang telah dibentangkan dalam Bajet 2027 pada 9 Oktober lalu.
Perkhidmatan bas pengantara bukan sahaja lebih menjimatkan, malah memudahkan lagi pengguna ECRL ke destinasi dituju mereka.
Selain itu, ia juga mengelak stesen-stesen ECRL terbabit menjadi lubuk baharu pengusaha ‘kereta sapu’ mengambil kesempatan sehingga menjadi masalah baru buat agensi penguat kuasa.
HAJI RAZIF
Bukit Besar, Kuala Terengganu
















