KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis selepas dikesan menggunakan telefon bimbit ketika memandu, bertindak melanggar beberapa kenderaan sepanjang aksi mengejar dari Sri Petaling ke Cyberjaya, semalam.
Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di Persiaran APEC, Cyberjaya selepas dikejar anggota polis yang bertugas di Balai Polis Sri Petaling.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, kejadian bermula kira-kira pukul 1.20 tengah hari ketika anggota polis sedang melakukan rondaan menggunakan kenderaan peronda di Jalan Merah Silu, Sri Petaling.
Menurutnya, anggota polis terbabit melihat sebuah van jenis Nissan Vanette dipandu suspek sambil menggunakan telefon bimbit sebelum mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun, pemandu terbabit bertindak membuat pusingan U sebelum melarikan diri sehingga menghala ke Lebuh Raya MEX.
“Suspek berjaya ditahan di Persiaran APEC, Cyberjaya dan pemeriksaan terhadap kenderaan itu tidak menemui sebarang barang salah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek turut dipercayai melanggar beberapa kenderaan sepanjang laluan dari Sri Petaling ke Cyberjaya.
Katanya, pemandu kenderaan yang terlibat akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu kepada pihak trafik.
Tambahnya, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai penghantar makanan mempunyai empat rekod lampau berkaitan narkotik.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek akan dipohon reman hari ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















