fbpx
Haziq menunjukkan sajian yang ditawarkan di Nasi Lemak Kedondong, Taman Melawati, Selangor. – M. FIRDAUS M. JOHARI

Seleksi sambal nasi lemak, lontong darat jadi tarikan di Nasi Lemak Kedondong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJADI antara hidangan kegemaran rakyat Malaysia, nasi lemak bukan sahaja enak dinikmati sebagai menu sarapan pagi tetapi turut sesuai dimakan pada bila-bila masa tidak mengira sama ada sebagai hidangan tengah hari, makan malam mahupun sajian ringkas.

Begitu juga dengan peminat kedai makan Nasi Lemak Kedondong yang menjadikan menu itu sebagai kegemaran.

Walaupun operasi ketika ini tertumpu kepada waktu pagi, kedai berkenaan turut menerima pelanggan sehingga waktu tengah hari khususnya keluarga yang membeli makanan untuk anak-anak selepas tamat sesi persekolahan.

Menurut pemiliknya, Mohamad Haziq Zulkifly, Nasi Lemak Kedondong menawarkan kira-kira 12 pilihan lauk untuk nasi lemak termasuk sambal sardin, sambal udang, dendeng balado, sambal kerang, sambal sotong, sambal paru, sambal tempe, ayam goreng, ayam masak merah, ayam rendang, rendang daging dan sayur kampung.

“Tiga menu yang sering menjadi pilihan pelanggan ialah sambal sardin, sambal udang dan dendeng balado kerana pilihan berkenaan tidak begitu lazim ditawarkan di kebanyakan kedai nasi lemak.

“Kami cuba buat kelainan dengan menawarkan lauk yang mungkin kurang terdapat di kedai nasi lemak lain. Sambal kerang, sambal sotong dan sambal paru memang biasa ditemui, jadi kami mahu pelanggan datang ke sini dan mencuba sesuatu yang berbeza,” katanya ketika ditemui CitaRasa di premis baru-baru ini.

Terletak di Jalan E1, Taman Melawati, Haziq memberitahu, nama Kedondong pada kedai bukanlah kerana terdapat buah kedondong dalam nasi atau sambal.

Sebaliknya, nama itu mempunyai kaitan dengan perniagaan terdahulu yang pernah dijalankannya di Jalan Kedondong, Ampang Hilir.

“Sebelum memulakan perniagaan menjual nasi lemak di tepi jalan sekitar 2021, saya berkhidmat sebagai perancang acara dan menjalankan operasi berpangkalan di Jalan Kedondong, Ampang Hilir.

“Jadi, untuk menarik perhatian dan memaklumkan kepada pelanggan kami sebelum ini, perkataan kedondong itu diletakkan pada nama kedai,” katanya.

Lontong daratnya menepati selera orang Johor.

Memandangkan premis beroperasi dari pukul 6.30 pagi hingga 2 petang (setiap hari kecuali Selasa), Haziq memberi tumpuan kepada hidangan sarapan pagi. Selain nasi lemak, menu seperti lontong lodeh, lempeng dan soto turut menjadi antara pilihan ‘buruan’ pelanggan daripada kira-kira 20 jenis hidangan yang ditawarkan di kedai berkenaan.

Terdapat juga menu baharu yang semakin mencuri perhatian ialah lontong darat diinspirasikan daripada hidangan Johor. Resipi tersebut diperoleh daripada ibu dan bapa mentuanya yang berasal dari negeri berkenaan.

Bagi memastikan rasanya benar-benar menepati cita rasa ‘JDT’, Haziq terlebih dahulu mengadakan sesi uji rasa makanan melibatkan individu-individu dari Johor sebelum menu itu diperkenalkan secara rasmi.

“Mak mentua dan bapa mentua saya memang orang Johor dan mereka turunkan resipi kepada saya.

“Sebelum kami jual secara rasmi, kami panggil kira-kira 20 orang dari Johor dalam kalangan pelanggan untuk mencuba dan memberikan pandangan.

“Alhamdulillah, maklum balas yang diterima memuaskan dan mereka mengatakan rasanya memang kena dengan tekak orang Johor, terutama sambal jawa yang lebih pedas serta kuah kacang yang pekat,” katanya.

Hidangan yang sinonim dengan cita rasa kampung itu turut disajikan dalam pinggan lutsinar sekali gus membangkitkan nilai nostalgia dan mengimbau kenangan pelanggan terhadap sajian tradisional.

Secara keseluruhannya, kepelbagaian pilihan makanan yang turut diserikan dengan sentuhan resipi keluarga, selain nasi lemak yang disajikan beralaskan daun pisang, menjadikan Kedai Nasi Lemak Kedondong mempunyai identiti tersendiri dalam menyajikan hidangan yang dekat dengan cita rasa rakyat Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN