fbpx
SUASANA di sekitar penginapan yang penuh berwarna-warni menggamit orang ramai untuk merakamkan gambar.

Perkampungan pelangi Kuala Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMANDUAN selama hampir satu jam dari Shah Alam, Selangor tidak terasa oleh Mohd. Fitri Mohd. Fauzi, 31, sekeluarga saat mata melihat keindahan satu lagi kawasan pelancongan baharu yang terletak di Kampung Bukit Hijau, Jeram, Kuala Selangor.

Dicat berwarna-warni persis pelangi, Kuala Selangor Cabin Camp (KSCC) atau dikenali juga sebagai Kampung Pelangi Kuala Selangor seluas 1.214 hektar itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bukan sahaja aneka jenis penginapan malah aktiviti menarik yang ditawarkan.

Mohd. Fitri, 31, yang mengetahui mengenai KSCC menerusi media sosial itu baru kali pertama menjejak kaki ke lokasi tersebut. Setibanya di situ, dia bersama isteri dan anaknya teruja melihat pelbagai pilihan penginapan dan aktiviti yang ditawarkan, namun hampa apabila tidak dapat menginap di situ kerana tempahan sudah penuh.

“Namun, demi tidak menghampakan hati anak kami, saya bawa dia masuk untuk bermain dengan haiwan peliharaan yang terdapat di sini seperti arnab, burung, burung unta, kuda, ayam dan itik.

“Kami pasti datang ke sini dan untuk masa akan datang. Kami akan membuat tempahan awal menerusi online,” katanya.

MOHD. FITRI membawa anak dan isterinya melihat haiwan peliharaan yang terdapat di KSCC.

Begitulah ‘kehangatan’ lokasi tersebut yang menjadi tular baru-baru ini kerana keunikannya. Kini, masyarakat Malaysia khususnya ibu kota tidak perlu lagi ke luar negara untuk menerokai percutian berwarna-warni.

Jika sebelum ini perkampungan seumpamanya lazimnya dikaitkan dengan destinasi percutian di Busan, Korea Selatan, Taichung, Taiwan mahupun Semarang, Indonesia, kini orang ramai terutamanya warga Lembah Klang boleh merasai suasana seumpamanya di Kuala Selangor.

Menyorot mengenai KSCC, pengarah urusannya, Kamil Sidek berkata, lokasi tersebut sebenarnya mula beroperasi sejak tahun 2015, namun pada masa itu, ia lebih sebagai tempat latihan, penganjuran program bina semangat (team building) dan tapak perkhemahan.

Malah katanya, pelanggan yang datang pada masa itu lebih tertumpu kepada syarikat korporat, agensi kerajaan, murid sekolah dan universiti serta kumpulan-kumpulan yang gemarkan aktiviti perkhemahan luar.

“Bagaimanapun, ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia pada Mac tahun lalu, semua pihak terkesan dan kami tidak terkecuali apabila tiada pelanggan yang datang secara berkumpulan.

“Jadi ketika kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Julai tahun lalu, kami mula memasukkan haiwan peliharaan seperti arnab, ostrich, kuda, rusa dan angsa sekali gus membuka kemasukan kepada umum,” katanya ketika ditemui K2 di KSCC di Kuala Selangor baru-baru ini.

RUMAH penginapan dan batu-batu jalan turut dicat berwarna-warni seperti warna merah, merah jambu, biru dan hijau.

Bercerita lanjut, pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya itu memberitahu, apabila sekali lagi PKP diumumkan, dia bersama pasukannya mula memikirkan strategi baharu untuk menarik kehadiran orang ramai ke KSCC yang boleh memuatkan kira-kira 250 pelanggan pada satu-satu masa. Ketika pandemik Covid-19 ini pula, mereka hanya menerima kira-kira 100 pelanggan bagi menjaga penjarakan fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ujar bapa kepada sembilan orang anak berusia antara 10 hingga 25 tahun itu, dia mengambil idea daripada beberapa lokasi pelancongan popular di Indonesia, Korea Selatan dan Taiwan lalu mula melakukan beberapa pengubahsuaian untuk menaikkan nilai tambah KSCC yang dibina di atas tanah kawasan pertanian kelapa sawit.

“Bermula dari situ, kami mula menambah konsep kampung pelangi dengan kepelbagaian warna cat seperti biru, merah, merah jambu, hijau, kuning dan sebagainya.

“Selain itu, kami turut menyediakan pelbagai jenis kediaman untuk pilihan pengunjung seperti busstay, homestay, cabinstay, arabianstay, tubestay, villastay, hobbitstay dan banyak lagi,” ujarnya.

Mengenai harga, Kamil menambah, pelanggan tidak perlu khuatir kerana ia dalam lingkungan RM60 hingga RM250 satu malam bergantung pada jenis bilik yang dipilih dan kesemua harga tersebut termasuk sarapan percuma untuk dua orang.

BEBERAPA ekor kuda yang terdapat di KSCC turut diletakkan di kandang berwarna-warni.

Sejak dibuka kepada umum, Kamil menambah antara pelanggan paling jauh yang pernah berkunjung ke KSCC adalah dari Kelantan, Melaka dan Johor selain penduduk setempat terutama ketika PKPB.

Bercerita lebih lanjut, datuk kepada seorang cucu berusia setahun ini berkata, KSCC bukan perniagaan yang memberi keuntungan kepada satu pihak semata-mata tetapi lebih kepada tiga dalam satu.

Pertamanya penginapan versatil diikuti perkhidmatan pada komuniti setempat serta tanggungjawab sosial korporat apabila sebahagian bayaran tiket diperuntukkan untuk membiayai pengajian ilmu di Pondok Balai Ilmu yang terdapat di KSCC iaitu kelas pengajian Iqra’ dan al-Quran untuk kanak-kanak, pengajian Fiqh untuk golongan Muslimat dan pengajian Daurah Kitab untuk umum secara percuma.

“Kami tidak bergerak secara sendirian tetapi turut menjalin kerjasama dengan agensi pelancongan untuk mempromosikan lokasi ini.

KAMIL

“Pengunjung bukan sahaja boleh menginap dan melakukan aktiviti yang disediakan di sini malah mereka juga boleh mengunjungi lokasi pelancongan popular yang terdapat di Kuala Selangor seperti Kelip-Kelip Kampung Kuantan pada waktu malam atau menikmati makanan laut segar di Aroma Ikan Bakar Jeram yang mengambil masa tidak sampai 20 minit dari KSCC,” katanya lagi.

Sepanjang Ramadan pula, Kamil berkata, operasi KSCC dibuka seperti biasa dan pengunjung yang menginap di sana turut berpeluang untuk bertadarus al-Quran, mendengar tazkirah Ramadan dan solat tarawih di surau yang luas dan selesa lengkap dengan alat pendingin hawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN