SERDANG – Hasrat seorang tokan dipercayai untuk menghantar bekalan dadah kepada pelanggan tidak kesampaian apabila dia dicekup polis dalam satu serbuan operasi khas di Serdang Raya, Seri Kembangan di sini, Khamis lepas.
Suspek yang berusia 22 tahun itu ditahan bersama sembilan kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM380,000.
Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd. Rosdi Daud berkata, suspek diberkas oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerusi serbuan kira-kira pukul 5.30 petang.
“Ketika serbuan, polis menemui sembilan bungkusan plastik lutsinar di atas tempat duduk bahagian penumpang dan belakang kereta yang dipandu suspek dengan anggaran berat 9.28 kg.
“Suspek juga bertindak agresif menyebabkan telah berlaku pergelutan sebelum dia berjaya ditahan,” ujarnya ketika sidang akhbar di IPD Serdang, di sini hari ini.
Jelasnya, harga pasaran dadah yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM380,000 dan sebuah kereta jenis Honda City turut disita.
“Hasil soal siasat mendapati suspek aktif melakukan kegiatan mengedar dan menghantar dadah kepada pengedar lain di sekitar Lembah Klang sejak sebulan yang lalu.
“Semakan mendapati suspek juga mempunyai 10 rekod lampau berkait kesalahan jenayah dan dadah, yang dilakukannya sejak tujuh tahun lalu,” ujarnya.
Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 . – K! ONLINE














