fbpx
Orang ramai boleh menyemak wang tidak dituntut menerusi laman sesawang Jabatan Akauntan Negara.

Wang besar, RM9.4 bilion tak dituntut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Sebanyak RM11.8 bilion wang tak dituntut (WTD) telah diserahkan oleh pelbagai entiti kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) yang bertindak sebagai pemegang amanah setakat Februari 2021 sejak Akta WTD 1965 dikuat kuasa pada tahun 1977.

Pengarah Bahagian Pengurusan WTD JANM, Ayub Zaidin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.4 bilion telah dibayar balik kepada penerima yang berhak dalam tempoh tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sebanyak RM9.4 bilion WTD masih berada dalam simpanan JANM setakat Februari lalu.

“Daripada jumlah itu, seba­nyak RM7.3 bilion WTD berada dalam Akaun Amanah Disatukan, manakala RM2.1 bilion telah dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan kerana tidak dituntut dalam tempoh 15 tahun.

“Hal ini menjadikan jumlah semasa dalam Kumpulan Wang Disatukan adalah sebanyak RM9.4 bilion setakat Februari lalu,” katanya dalam temu bual khas bersama Kosmo! di pejabatnya di sini baru-baru ini.

WTD boleh dimohon di mana-mana Pejabat Jabatan Akauntan Negara atau menerusi sistem eGUMIS. – GAMBAR HIASAN

Ayub memberitahu, jumlah serahan WTD yang dibuat kepada JANM meningkat saban tahun sekali gus menunjukkan bahawa lebih banyak syarikat sedar tanggungjawab mereka untuk mematuhi Akta WTD 1965.

Menurutnya, pada tahun lalu, sebanyak RM933 juta serahan dibuat kepada pendaftar WTD, meningkat berbanding RM860 juta pada 2019 dan RM795 juta (2018).

“Pada masa sama, sebanyak RM262 juta jumlah bayaran balik WTD dibuat kepada penerima yang berhak pada tahun lalu berbanding RM221 juta (2019) dan RM252 juta (2018),” ujarnya.

Ayub berkata, WTD adalah wang yang perlu dibayar di sisi undang-undang kepada pemilik yang berhak dan tiada had tamat tempoh untuk menuntut seperti mana ditetapkan oleh Akta WTD 1965.

Ujarnya, walaupun amaun WTD telah dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan, tuntutan masih boleh dibuat.

Menurutnya, kira-kira 61 peratus WTD adalah membabitkan wang yang kena dibayar di sisi undang-undang kepada empu­nya, namun ia tidak dibayar dalam tempoh melebihi setahun seperti gaji, bonus, komisen, upah, dividen dan deposit.

“Sebanyak 29 peratus WTD pula melibatkan urusan perbankan seperti akaun simpanan dan akaun semasa yang tidak aktif melebihi tempoh tujuh tahun.

“Sekuriti tidak dituntut pula sebanyak tujuh peratus dan baki nya pula membabitkan penghutang serta pemiutang dagangan,” ujarnya.

Ayub berkata, syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dikehendaki mematuhi Akta WTD 1965 de­ngan menyelenggara segala maklumat dan membuat serahan WTD sebelum 31 Mac setiap tahun.

Katanya, kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 dan tambahan tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kemungkinan itu berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN