KUALA LUMPUR – “Saya merupakan antara individu yang dipanggil untuk melakukan bantuan pernafasan kecemasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) terhadap Dr. Hasmah sebelum beliau disahkan meninggal dunia.”
Demikian kata Felo Klinikal Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman di Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Iskandar Mirza Amran, 40, yang mendapat perhatian ramai kerana setia di sisi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sepanjang urusan pengebumian Allahyarham Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali pada Isnin lalu.
Menceritakan kejadian pada awal pagi itu, beliau berkata, terdapat tujuh individu yang merawat dan memantau kesihatan Dr. Mahathir dan isterinya diketuai Datuk Dr. Amin Ariff Nuruddin.
Turut berada dalam pasukan itu ialah Datuk Dr. Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof, Datuk Dr. Ghazali Ahmad, Dr. Hafidz Abd Hadi, Dr. Hisham Md. Sharom, Dr. Afif Ashaari dan beliau sendiri.
“Pada Ahad lalu, saya bertugas bagi syif 24 jam. Pagi semalam (Isnin), kami dimaklumkan ada kod biru iaitu kecemasan membabitkan Dr. Hasmah.
“Saya antara individu yang dipanggil untuk melakukan bantuan pernafasan kecemasan atau CPR terhadap Dr. Hasmah sebelum beliau disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dr. Iskandar berkata, beliau kemudian ditugaskan untuk bersama Dr. Mahathir sepanjang urusan pengebumian memandangkan doktor lain dalam pasukan itu mempunyai prosedur penting pada hari berkenaan.
“Saya lihat Dr. Mahathir memang sedih. Beliau tidak banyak bercakap dan menangis sepanjang masa.
“aya ada bertanyakan keadaannya untuk periksa sama ada beliau mengalami sesak nafas atau sakit dada dan dimaklumkan Dr. Mahathir tidak alami simptom tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai gambarnya bersama jururawat berbangsa India dan juruterapi berbangsa Cina yang tular di media sosial, Dr. Iskandar berkata, beliau tidak menyangka perkara tersebut menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.
“Ramai pihak menghubungi saya mengucapkan terima kasih kerana menjaga Tun Mahathir. Saya rasa gembira apabila kehadiran kami mengubah persepsi negatif terhadap doktor.
“Apabila menerima ucapan terima kasih dan penghargaan daripada orang ramai, saya rasa penat lelah bertugas kira-kira 40 jam semalam (Isnin) amat berbaloi,” katanya.
















