SEORANG penumpang melihat skrin maklumat penerbangan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Tangeran pada 7 September lalu. – AFP

5 rakyat Malaysia ditahan di Jakarta, seludup dadah RM28 juta dalam kasut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Polis Indonesia membongkar sebuah makmal haram memproses etomidat, dadah yang dikaitkan rokok elektronik dan vape dalam sebuah apartmen di Jakarta Utara dan menahan enam warga asing disyaki menyeludup serbuk itu dari Malaysia, lapor laman berita Jakarta Globe semalam.

Operasi itu dilancarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Polis Nasional (Bareskrim Polri) dengan kerjasama pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, kata polis.

Enam suspek terbabit terdiri daripada lima warga Malaysia dan seorang rakyat China.

Laman berita The Vibes melaporkan, kesemua suspek ditahan oleh anggota dan pegawai Kastam dan Eksais di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta setelah tiba  dengan menaiki Penerbangan AirAsia QZ201 pada Jumaat lalu.

Mereka  ditahan kerana membawa serbuk etomidat dari Malaysia ke Indonesia.

Polis  kemudiannya menggeledah sebuah apartmen di Ancol, Jakarta Utara di mana mereka menemukan peralatan yang digunakan untuk menghasilkan cecair etomidat  bersama bahan-bahan lain.

“(Terdahulu) pihak berkuasa  turut merampas lima pasang kasut yang didakwa milik suspek. Kira-kira 5 kilogram serbuk disyaki  etomidat disembunyikan di dalam tapak-tapak kasut tersebut,”  kata polis.

Serbuk dadah itu dianggarkan bernilai 127.5 bilion rupiah (RM28.86 juta). Pasukan penyiasat percaya suspek mengangkutnya melalui laluan udara dari Malaysia ke Indonesia selepas menyembunyikannya di dalam kasut.

Polis juga merampas 85 liter bahan mentah cecair yang didakwa diperuntukkan bagi pengeluaran cecair vape, serta kira-kira 21,000 ‘pod’ vape kosong dan pembungkus kartrij.

Ketua Unit 3 Direktorat Jenayah Narkotik Polis Nasional, AKBP Ivan Adhitira berkata,  kes itu terbongkar hasil kerjasama antara Bareskrim  dan pegawai kastam di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

“Dalam operasi ini, kami menahan enam warga asing dan seterusnya menggeledah sebuah apartmen di Ancol,” kata Ivan.

Polis Indonesia sedang berusaha untuk mengenal pasti rangkaian lebih luas di sebalik operasi itu dan sedang mengesan seorang wanita dikenali dengan gelaran ‘Madam’.

Ivan berkata, wanita yang juga dipercayai warga asing itu dipercayai bertindak sebagai pengurus rangkaian berkenaan.

Keenam-enam suspek dan barang bukti yang dirampas telah dibawa ke ibu pejabat Polis Nasional untuk soal siasat dan siasatan lanjut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN