AMPANG JAYA – Sebuah kilang kitar semula dan tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Cheras Baru, Seksyen 15, berhampiran Petron di Jalan Lingkaran Tengah (MRR2), di sini, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.37 tengah malam.
Katanya, sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah digerakkan ke lokasi dengan bantuan keanggotaan dari BBP Ampang, BBP Bandar Tun Hussein Onn dan BBP Hang Tuah.
“Kemusnahan dianggarkan kira-kira 80 peratus, namun api berjaya dikawal pada pukul 1.24 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE
















