fbpx
SUNGAI Ceweh di RKT Kesedar Jeram Tekoh perlu diselenggara secara berkala bagi mengelak kejadian banjir kilat berulang. – AIMUNI TUAN LAH

‘Setiap kali hujan, penduduk tak tidur lena’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Penduduk Taman Agropolitan Rantau Manis, Mohamad Syaifuddin Abdullah, 36, berkata, langkah penyelesaian jangka panjang perlu diberi perhatian berban­ding tindakan sementara setiap kali banjir berlaku.

Katanya, keadaan aliran su­ngai di kawasan perumahan Fasa 1 perlu dikaji semula kerana terdapat banyak selekoh yang didakwa menghalang kelancaran aliran air ketika hujan lebat.

“Kerja penyelenggaraan sungai atau perparitan perlu dilakukan secara berkala sekurang-kurang­nya setiap tiga hingga enam bulan bagi memastikan sistem saliran berada dalam keadaan baik.

“Setiap kali hujan, penduduk akan berdebar dan tidak dapat tidur lena terutama mereka yang tinggal berhampiran sungai. Bulan ini sahaja, sudah dua kali kawasan kami berdepan banjir kilat,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, Mohd. Izani Mohd. Azizi, 48, berkata, dia yang menetap lebih 30 tahun di kawasan berkenaan tidak menyangka paras air boleh naik dengan begitu mendadak selepas hujan lebat.

Katanya, dia bimbang kea­daan aliran air yang deras dari kawasan Taman Agropolitan Rantau Manis didakwa menyebabkan sungai melimpah dan mengalir ke kawasan RKT Kesedar Jeram Tekoh ketika hujan lebat.

“Apabila air sungai penuh dan melimpah di Taman Agropolitan Rantau Manis, air akan terus mengalir ke RKT Kesedar Jeram Tekoh.

“Selain itu, mungkin juga terdapat faktor pembinaan Projek Lingkaran Utara (LTU) yang menyebabkan aliran air ketika hujan lebat tersumbat dan melimpah.

“Sungai Ceweh yang terletak berhampiran kawasan ini juga perlu diberi perhatian kerana pada 2014 pernah berlaku banjir paling teruk. Banjir kilat yang berlaku baru-baru ini pula merupakan kejadian kedua di kawasan ini selepas pertama kali berlaku pada bulan lalu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, beliau bersama agensi berkaitan sedang mengenal pasti punca kejadian banjir kilat berulang di beberapa kawasan ber­kenaan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, hujan lebat menyebabkan penduduk di 10 kampung termasuk RKT Kesedar Jeram Tekoh di sini terjejas akibat banjir kilat apabila air naik mendadak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN