KUALA LUMPUR – Lebih setengah juta fail Bahan Penganiayaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) dirampas dalam operasi besar-besaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini.
Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 3.0 yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 September lalu menyaksikan sebanyak 92 lokasi sasaran diperiksa di kesemua 14 kontinjen seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, seramai 53 individu ditahan hasil 52 serbuan, manakala 40 lagi serbuan tidak membawa kepada sebarang penahanan.
Katanya, operasi itu turut membawa kepada rampasan 90 peranti digital seperti telefon bimbit, komputer, komputer riba, tablet, peranti storan dan router atau modem serta lima alat mainan seks.
“Pemeriksaan awal ke atas peranti itu menemukan sebanyak 653,193 fail digital terdiri daripada 540,127 fail CSAM dan 113,066 fail pornografi dewasa,” katanya pada sidang akhbar Op Pedo Bersepadu PDRM–SKMM 3.0 di Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut Kumar, modus operandi dikesan termasuk mengakses, memperoleh, memuat turun, memiliki serta menyimpan CSAM menerusi pelbagai platform digital dan kumpulan dalam talian.
Malah katanya, terdapat kegiatan lebih kompleks termasuk menghasilkan sendiri bahan, menjual, mentadbir kumpulan dalam talian dan menerima pembayaran menerusi e-dompet, mata wang kripto dan PayPal.
Sebanyak 52 kertas siasatan dibuka antaranya mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Imigresen 1959/63.
Sehingga semalam, sebanyak 23 daripada 52 kertas siasatan atau 44 peratus telah dituduh di mahkamah, manakala bakinya masih dalam siasatan.
Daripada 23 kertas siasatan yang dituduh, lima mengaku bersalah dan menunggu laporan akhlak, dua mengaku bersalah dan menunggu hukuman, manakala lima lagi tidak mengaku salah serta akan dibicarakan.
Antara hukuman yang diputuskan adalah penjara lapan bulan dan denda RM5,000 bagi kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sejak 2024, Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM dan Operation Cyber Guardian berjaya melakukan 170 tangkapan, melibatkan rampasan 369 barang kes dan penemuan 2,123,887 fail CSAM dan bahan pornografi.
“Tiada ruang selamat bagi mereka yang mengeksploitasi kanak-kanak sama adasecara fizikal mahupun di balik skrin,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















