fbpx
Chimpanzee

5 haiwan paling bijak, No.1 setara budak 7 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBICARA tentang kebijaksanaan, sudah semestinya milik manusia yang dikurniakan akal dan sebaik-sebaik kejadian. Namun, dalam dunia haiwan, kalangan pelbagai spesies hidupan, antaranya terkenal sebagai haiwan-haiwan yang bijak.

Ada yang dikaitkan dengan kebijaksaan kerana biologi otaknya, kemampuan menyelesaikan masalah, kekuatan memori, kebolehan dalam menggunakan peralatan bahkan mampu mengatasi manusia dalam permainan strategi.
Minggu ini CitaRasa kongsikan lima haiwan paling bijak atau pintar sebagaimana yang dikongsikan CBS News.

1- Gagak

Kita sering mendengar mitos gagak yang haus berjaya minum air dalam botol, rupa-rupanya gagak memang terbukti haiwan ‘genius’. Bahkan, menurut jurnal Science gagak miliki saiz otak yang besar bernisbah seperti otak chimpanzee biarpun haiwan ini bersaiz kecil. Otak gagak mengandungi banyak neuron, lebih banyak daripada mamalia.

Gagak juga dilaporkan sebijak kanak-kanak berusia tujuh tahun! Pada 2012 University of Cambridge telah menyediakan satu tugasan mencabar untuk kanak-kanak berusia empat hingga 10 tahun dan gagak. Gagak mampu selesaikan tugasan itu yang hanya berjaya dibuat budak berumur tujuh hingga 10 tahun. Saintis dari Universiti St. Andrew UK juga pernah menguji dengan meletakkan makanan yang disembunyikan di dalam satu lubang pada dahan pokok dan meletakkan satu kayu kecil (stick) berhampiran gagak. Menakjubkan apabila 81 daripada 104 gagak yang diuji secara berasingan bertindak mengambil kayu kecil itu lalu mencungkil makanan dalam lubang. Gagak didapati miliki kebolehan kognitif penggunaan peralatan, mempunyai kekuatan memori jangka panjang, sesamanya dikatakan boleh mengumpat manusia, berdendam dan memahami analogi.

2- Chimpanzee

New York Times pada 2007 pernah menulis mengenai chimpanzee berjudul: Hampir manusia, dan kadang-kadang lebih bijak. Chimpanzee berupaya menunjukkan emosi berkait sikap manusia. Satu kajian University Kyoto mendapati ia bahkan dapat mengalahkan manusia dalam ujian memori pantas jangka pendek berdasarkan nombor-nombor terpapar di skrin. Chimpanze juga boleh mengubah kayu menjadi lembing untuk memburu dan menggunakan batu untuk memecahkan kacang.

3- Gajah

Gajah mempunyai otak yang lebih besar berbanding otak haiwan-haiwan darat lain, Bahkan dikatakan korteks pada otak gajah sebanyak neuron manusia. Satu ujian oleh saintis mendapati sekumpulan gajah berjaya membentuk kerjasama yang baik sehingga akhirnya berjaya mendapatkan sebaldi jagung.
Haiwan ini mempunyai kebolehan untuk mempelajari melalui tabiat atau persekitaran.

4- Gorila

Gorila yang bernama Koko pernah mencipta sensasi dengan keupayaan menggunakan bahasa isyarat dan memahami bahasa Inggeris. Beberapa saintis percaya bahawa haiwan itu mempunyai keupayaan kognitif simbolik, membolehkan menunjukkan kebolehan-kebolehan yang selalu dikaitkan dengan ‘manusia’.

5- Dolphin

Dolphin dikenali dengan komunikasi yang kompleks, memori yang impresif dan kemahiran menyelesaikan masalah. Menggunakan deria auditori, haiwan ini mampu menyampaikan mesej kepada dolphin lain. Sebagai contoh, jika dolphin ingin menggambarkan satu ekor ikan kepada dolphin lain, ia boleh menghantar imej hanya dari minda.
Ia juga bijak dengan menggunakan peralatan seperti span yang diletakkan di muncung mulutnya sebagai pelindung ketika ia memburu hidupan kecil di dasar laut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN