fbpx
TENGKU ANDY memulangkan gelang emas ‘jagung’ bernilai RM15,000 yang ditemui pada Ahad lalu kepada pemiliknya, hari ini.

‘Lega dapat jumpa sendiri tuan gelang, mana tahu ia hadiah bermakna’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – “Saya rasa lega dan berpuas hati sebab sudah jumpa dengan pemilik gelang, jadi selesai semuanya. Tak adalah risau lagi kerana gelang itu bernilai RM15,000.”

Itu luahan tukang kebun Muzium Samudera, Tengku Andy Asmawi Tengku Ahamad, 28, selepas menyerahkan semula gelang emas jenis ‘jagung’ yang ditemuinya ketika melakukan rutin pembersihan di Muzium Samudera, Banda Hilir, di sini, Ahad lalu kepada pemiliknya pada pukul 1.30 tengah hari tadi.

Katanya, dia bersyukur apabila pemilik gelang berkenaan tampil menuntut semula barang kemas yang ditemuinya ketika menjalankan kerja rutin di kawasan pelancongan berkenaan, Ahad lalu.

“Memang risau pegang barang orang ini, mana tahu gelang tersebut merupakan hadiah paling bermakna untuk pemilik.

“Saya tidak melihat pada nilai barang tersebut, apa yang saya tahu ia bukan barang saya dan perlu dipulangkan kepada pemiliknya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.

Menurutnya, dia tidak menyangka tindakannya itu mendapat perhatian ramai selepas kisahnya memulangkan gelang berkenaan dikongsi pihak muzium serta mendapat liputan media.

“Kawan-kawan kata, orang yang jujur dan amanah susah nak jumpa, tapi bagi saya perkara itu memang sepatutnya ada pada setiap orang.

“Saya ada baca komen-komen netizen di TikTok dan Instagram, ramai yang memuji tindakan saya serta mendoakan perkara baik berbalik kepada saya. Untuk itu, saya berterima kasih,” ujarnya.

Tambahnya, pemilik gelang tersebut turut memberikan saguhati kepadanya sebagai tanda penghargaan selepas barang kemas berkenaan berjaya dikembalikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN