KELANTAN City FC (KCFC) memiliki potensi untuk terus melakar kejutan musim ini selepas menyingkirkan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan agregat 4-3 untuk mara ke suku akhir Piala FA, semalam.
Pengerusi Eksekutif Kedai Emas Sri Semantan (KESS), Mohamad Hafizal Mahmood melihat selaku rakan strategi KCFC, kelab Pantai Timur itu mempunyai peluang cerah untuk terus berjaya berdasarkan karakter dan semangat yang ditunjukkan barisan pemain muda.
“Pasukan ini terdiri daripada pemain muda dan semangat mereka sangat kuat. Saya nampak mereka mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh.
“Sebab itu saya mahu memberikan sokongan supaya ia menjadi pembakar semangat kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.
Mohamad Hafizal turut optimis terhadap kemampuan KCFC yang mendorong beliau menawarkan komitmen lebih besar sekiranya pasukan itu berjaya mencapai sasaran beraksi dalam Liga Super musim depan.

“Saya cuba untuk menaja sebanyak RM5 juta sebagai pembakar semangat kepada mereka. Saya yakin mereka boleh melakukannya,” katanya.
Bagi musim 2026/27, KCFC menerima tajaan berjumlah RM2 juta daripada KESS sebagai sokongan kepada pasukan berkenaan mengharungi saingan domestik. – KOSMO! ONLINE
















