PETALING JAYA – “Abang patut balik hari ini (semalam), abang dah janji nak bawa balik hadiah anniversary (ulang tahun perkahwinan).”
Demikian luahan isteri Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa atau lebih dikenali sebagai Loe yang hilang dalam insiden banjir besar di kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu.
Hani Othman menerusi hantaran di media sosialnya berkongsi, 3 September 2026 merupakan genap 10 tahun usia perkahwinan mereka.
Dalam hantaran sama, Hani turut meluahkan kerinduan terhadap suaminya yang sehingga kini masih gagal dihubungi.
“Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-10 Loe Solo. Abang patut balik hari ini (semalam). Abang dah janji nak bawa balik hadiah. Teruja la hadiah apa abang nak bagi tahun ni,” tulisnya.
Lebih menyentuh hati, Hani turut mengimbau pelbagai perancangan yang sepatutnya mereka lalui bersama antaranya menduduki peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) TVET pada 6 September ini.
Selain itu, pasangan suami isteri tersebut turtu merancang untuk melengkapkan kursus divemaster di Pulau Tioman pada bulan hadapan.
“Bulan Oktober kita patut lengkapkan kursus divemaster dekat Tioman. Bulan Mei (2027) abang kena bawa sayang pergi (Gunung) Rinjani (Indonesia). Bulan Ogos (2027) kita nak pergi Kilimanjaro (Tanzania) pula,” katanya.
Menurut Hani, mereka turut merancang untuk berlatih bersama bagi merealisasikan impian suaminya menawan puncak Everest.
“Sayang dah cakap kat abang kan kita akan latih sama-sama dan sayang akan teman abang kali ini sampai ke Puncak Everest. Impian abang nak ke puncak Everest tak selesai lagi tau.
“Tolong la abang, di mana abang sekarang ini?” luahnya.
Sebelum ini, lebih 50 rakyat Malaysia dilaporkan hilang susulan kejadian banjir dahsyat dan tanah runtuh di sempadan Nepal-Tibet dengan usaha mencari dan menyelamat sedang berjalan sehingga hari ini.
Terdahulu, Hani tekad berlepas ke Kathmandu seorang diri bagi mendapatkan perkembangan secara langsung mengenai operasi mencari suaminya serta lapan anggota kumpulan Loe yang masih gagal dihubungi selepas bencana tersebut melanda Nepal. – KOSMO! ONLINE








