PETALING JAYA – “Satu pengorbanan besar, sampai mati pun saya tidak dapat balas apa yang dia beri kepada saya. Cuma saya doa supaya Allah SWT menempatkannya di syurga nanti.”
Itu kata-kata pelakon Mohd. Eyzendy Mohd. Aziz, 42, atau lebih dikenali sebagai Along Eyzendy yang terharu dengan pengorbanan yang dilakukan isterinya, Hamidah Mohd. Yatim, 36, yang mendermakan buah pinggang kepada suaminya.
Kedua-dua pasangan itu bakal menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang di Hospital Selayang pada Khamis ini.
Along Eyzendy disahkan mengalami kerosakan buah pinggang sebelah kiri yang hanya 19 peratus berfungsi sejak tahun 2019 ketika menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Isteri membuat keputusan mahu mendermakan buah pinggangnya kepada saya selepas doktor memaklumkan cara terbaik untuk menyembuhkan penyakit saya adalah dengan melakukan pemindahan buah pinggang.
“Isteri saya telah menjalani pemeriksaan dengan pihak hospital yang mengambil masa kira-kira setahun sebelum dipastikan sihat sepenuhnya dan boleh menderma buah pinggang kepada saya,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, dia kini telah ditempatkan di wad sejak kelmarin bagi persediaan menjalani pembedahan, manakala isterinya pula akan dimasukkan ke hospital hari ini.
“Keadaan kesihatan saya sekarang baik, cuma doktor meminta saya masuk wad awal sebab mahu melakukan pemantauan,” kata bapa kepada tiga anak itu.
Ditanya sama ada terdapat mana-mana pihak yang menghulurkan sumbangan, Along Eyzendy berkata, setakat ini tiada mana-mana pihak yang tampil berbuat demikian.
“Namun, saya pun sebenarnya tidak mengharapkan apa-apa bantuan. Saya cuma mahu berkongsi cerita dengan mereka yang menghidap penyakit yang sama, bukannya meraih simpati untuk meminta sumbangan,” ujarnya.
Sementara itu, Hamidah memberitahu, dia mahu membantu suaminya bagi memudahkan Along Eyzendy mencari rezeki.
“Sebelum ini, Along terpaksa menolak banyak tawaran berlakon kerana terpaksa menjalani rawatan dialisis buah pinggang. Masalah ini telah menyebabkannya kecewa kerana itu adalah mata pencariannya.
“Jadi, saya mahu memberi sokongan kepada suami supaya dia kekal positif. Saya harap pembedahan akan berjalan lancar,” ujarnya.














