PETALING JAYA – Mahu membina empayar perniagaan, penyanyi Wani Kayrie mengorak langkah lebih jauh dalam dunia seni apabila menubuhkan syarikat yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat penari muda.
Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah, 26, berkata, minat mendalam terhadap tarian mencetuskan idea menubuhkan Wani Kayrie Entertainment pada Februari tahun lalu sebagai platform mencungkil pelapis dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
“Minat saya lebih kepada bidang perkhidmatan dan hiburan, seterusnya menerusi Wani Kayrie Entertainment, kami membuka akademi tarian dan melatih anak-anak muda menjadi penari profesional serta penari latar.
“Apabila mereka sudah mencapai tahap profesional, saya ambil mereka mengiringi persembahan bersama saya selain membuka ruang untuk mereka beraksi dengan penyanyi lain.
“Misi utama saya adalah melahirkan lebih ramai penari profesional bagi menyertai persembahan pentas berskala mega termasuk di arena antarabangsa,” katanya selepas perasmian pembukaan butik jenama tempatan, Bayu Somerset di Imago, Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Wani yang membawakan tiga lagu termasuk Cak Cak Cekuk, berkata, rasional penubuhan akademi tarian, selepas melihat keperluan melahirkan lebih ramai pelapis agar industri tarian tempatan tidak ketandusan bakat baharu.
Jelasnya, meskipun jumlah penari berpengalaman semakin bertambah, usaha membina bakat baharu sejak usia kanak-kanak perlu dipergiatkan bagi memastikan kesinambungan industri tarian tanah air.
“Kalau diperhatikan, penari dalam industri kita sering terdiri daripada individu sama. Saya mahu mencantikkan dan memeriahkan lagi industri ini dengan melahirkan lebih ramai pelapis menerusi akademi sendiri.
“Setakat ini, kami mempunyai lebih 20 penari tetap dengan usia paling muda adalah sekitar enam tahun,” ujarnya.
Akuinya lagi, Wani Kay Entertainment juga hadir dengan tanggungjawab besar apabila pelanggan meletakkan harapan tinggi terhadap mutu persembahan dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Katanya, perniagaan yang diusahakan bersama ibunya itu bermula secara kecil-kecilan sebelum menerima semakin banyak permintaan daripada pihak yang memerlukan khidmat penari.
Pada masa sama, Wani tidak menafikan perlu mengeluarkan wang sendiri bagi menampung beberapa keperluan operasi syarikat, namun menganggap perkara tersebut sebagai pelaburan jangka panjang.
Baginya, kejayaan membangunkan sebuah perniagaan tidak boleh diukur menerusi pulangan segera semata-mata, sebaliknya memerlukan kesungguhan, kesabaran dan kesediaan melabur demi membina asas yang kukuh.
“Kadangkala saya perlu menggunakan duit sendiri, tetapi bagi saya setiap permulaan memerlukan pelaburan. Saya tidak kisah mengeluarkan modal lebih untuk membangunkan syarikat sendiri.
“Walaupun bayaran yang diterima tidak begitu besar, pengalaman yang diperoleh penari itu juga penting. Ada antara mereka sanggup menyertai sesuatu persembahan kerana mahu menambah pengalaman,” katanya.
Mengulas kemungkinan menceburi cabang perniagaan lain, Wani berkata, buat masa ini dia belum mempunyai perancangan berbuat demikian kerana lebih selesa memberi tumpuan kepada bidang yang benar-benar diminatinya.
Mengakui pernah mencuba nasib menjual produk solekan dan tudung, dedahnya, kedua-dua perniagaan itu tidak diteruskan kerana kurang minat mendalam dalam bidang berkenaan.
“Bagi saya, berniaga memerlukan bakat dan minat. Tidak boleh hanya mengikut trend atau melihat kejayaan orang lain tanpa mengetahui cabaran yang mereka lalui.
“Saya lebih suka melakukan sesuatu yang saya mahir dan minati. Sebab itu, buat masa sekarang saya mahu fokus kepada perniagaan sendiri dalam bidang hiburan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














