LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan kejayaan yang diraih sebelum ini hanya satu permulaan selepas menandatangani kontrak baharu selama empat tahun untuk terus kekal di Stadium Emirates
Difahamkan, pengendali dari Sepanyol itu menandatangani kontrak lumayan di mana beliau akan menerima £20 juta (RM107.95 juta) setahun dan menjadi pengurus yang menerima gaji termahal di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Arteta berkata, beliau gembira kerana terus diberikan kepercayaan mengendalikan pasukan itu selain sedia untuk membawa lebih banyak kejayaan kepada Arsenal sepanjang bersama pasukan tersebut.
“Ini merupakan satu penghormatan untuk terus kekal bersama pasukan dan bekerjasama dengan orang-orang hebat di Arsenal. Bagi saya, kelab ini unik dan memang tidak sabar untuk terus bersama mereka.
“Kami sudah pun mencipta satu hubungan yang sangat baik selain ada memori cukup hebat untuk dikenang sepanjang hayat. Bagi saya, kejayaan sebelum ini hanya satu permulaan untuk kami di sini,” katanya.
Sementara itu, pengerusi bersama Arsenal, Stan dan Josh Kroenke berharap Arteta akan terus menjadi tunjang buat The Gunners dalam misi mereka meneruskan kesinambungan atas apa yang dikecapi musim lalu.
“Kami sudah mengharungi satu perjalanan yang hebat dan harap ia dapat diteruskan untuk masa hadapan. Arteta sudah faham mengenai nilai dan tradisi pasukan ini, jadi kami yakin dengan kemampuan beliau,” ujarnya. – AGENSI














