Balu kepada pelakon Papa Rawi iaitu Zarela Abdul Kadir meninggal dunia pagi tadi.

‘3 bulan lepas pemergian suami’ – Isteri Papa Rawi meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Balu kepada pelakon, Allahyarham Mohd. Rawi Mohamed Said, 83, atau lebih mesra dengan panggilan Papa Rawi iaitu Zarela Abdul Kadir meninggal dunia pagi tadi.

Allahyarham, Zarela, 79, yang mesra dengan panggilan Mummy menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang. Iaitu tiga bulan selepas kematian suaminya.

Berita dukacita tersebut dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Sandakiah Azez menerusi media sosial.

“57 tahun bersama. Tiga bulan selepas pemergian suami pada 3 Julai 2026, isteri yang masih dalam tempoh idah menyusul.

“Al-Fatihah buat Allahyarhamah Hajjah Zarela Abd Kadir,” tulisnya.

Anak tunggal Allahyarham Yanti Erna yang dihubungi media berkata, Ahad lalu ibunya yang tinggal sendirian, terjatuh di kediamannya di Bukit Antarabangsa.

“Mummy dibawa ke Hospital Ampang sebab nak x-ray pinggul dan doktor mendapati pinggul ada renggang sikit dan ditahan di wad.

“Semalam (Isnin) Mummy hubungi saya beritahu dia pindah katil dekat dengan jururawat sebab mengadu sakit dada.

“Sekitar pukul 2 pagi ke atas tadi, hospital call (telefon) beritahu keadaannya kritikal dan pukul 3.11 pagi disahkan meninggal.

“Minggu lepas Mummy okey saja dekat rumah. Iddah Mummy belum habis lagi patut bulan depan,” katanya.

Yanti, 48, berkata, ibunya mempunyai sejarah masalah jantung dan usus serta perlu membuat rawatan susulan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM).

“Saya baru sahaja balik ke Johor Bahru Sabtu lalu selepas melihat Mummy. Walaupun tinggal sendirian, rumah ada CCTV dan ibu saudara (kakak dan adik ibunya) serta jiran selalu tengokkan dia.

“Sebabnya Mummy masih boleh urus diri dan tak nak pindah. Masa arwah papa meninggal, saya duduk sebulan teman Mummy,” katanya lagi.

Terdahulu Allahyarham Mohd. Rawi meninggal dunia akibat serangan asma dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

Jenazah Allahyarham Zarela juga akan dikebumikan di lokasi yang sama dijangka sekitar jam 11 pagi ini. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN