BALIK PULAU – Seorang pembantu jurujual kedai emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu berhubung pakej umrah persendirian sehingga kerugian RM35,736, tahun lalu.
Tertuduh, Syed Syafiq Syed Azhar, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Syed Syafiq didakwa dengan curangnya memperdaya pengadu dengan membuat representasi bahawa dia boleh menyediakan dan menguruskan pakej umrah persendirian meliputi penerbangan pergi dan balik serta penginapan di Mekah dan Madinah.
Bagaimanapun, representasi itu didakwa tidak benar sehingga mendorong pengadu menyerahkan wang RM35,736 kepada tertuduh melalui akaun Bank Islam syarikat Fique Legacy yang didaftarkan atas namanya.
Kesalahan itu dilakukan di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas di sini pada Februari 2025. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, tertuduh menjalankan perkhidmatan pakej pelancongan umrah persendirian tanpa lesen sah daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan tidak mempunyai lesen Syarikat Pengelola Jemaah Haji daripada Tabung Haji (TH).
Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Hazarul Iqram Rozahan, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sofi Jaafar.
Ketika prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam memohon supaya wang jaminan dikurangkan kerana tertuduh seorang duda dan mempunyai seorang anak. Mahkamah membenarkan Syed Syafiq diikat jamin RM7,500. Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 November ini. – KOSMO! ONLINE
















