Di sebalik nama aimara (Hoplias aimara), ia sebenarnya merupakan spesies ikan yang mempunyai karakter biologi dan habitat cukup menarik.
Aimara tergolong dalam keluarga Erythrinidae daripada genus Hoplias, kumpulan ikan pemangsa air tawar yang berasal dari Amerika Selatan.
Ia berada dalam Characiformes iaitu kelompok besar ikan air tawar yang turut merangkumi pelbagai spesies dari benua tersebut.
Nama genus Hoplias pula berasal daripada perkataan Greek ‘hoplon’ membawa maksud senjata, cukup sesuai apabila melihat rupa rahang dan gigi yang menjadi senjata utama ikan ini.
Lembangan Amazon
Taburan semula jadi ikan aimara merangkumi beberapa sistem sungai utama di bahagian utara dan tengah Amerika Selatan.
Spesies ikan ini boleh ditemui di Guyana, Suriname, French Guiana, Brazil dan Venezuela, termasuk beberapa sistem sungai yang mempunyai hubungan dengan lembangan Amazon, Orinoco serta sungai-sungai mengalir melalui Guiana Shield.
Bentuk muka bumi sungainya pula mempunyai pelbagai karakter, daripada aliran deras, jeram, lubuk dalam sehingga kawasan yang dipenuhi batu, kayu tumbang dan struktur semula jadi.
Sebagai ikan pemangsa dengan perangai mengendap sebelum menyerang mangsanya, aimara akan menghuni lokasi yang banyak kawasan persembunyian.
Struktur seperti kayu mati, batu besar, tebing dan lubang dalam menjadi lokasi strategik bersembunyi untuk menunggu mangsanya.
Ia juga sering menjadikan kawasan counter-current atau arus berpusar di kawasan jeram sebagai lokasi menyergap makanannya.
Rahang bak serigala
Kepala besar dan lebar dipadankan dengan mulut yang luas serta barisan gigi berbentuk taring tajam.
Apabila mulutnya terbuka, tidak sukar memahami bagaimana ikan ini mendapat reputasi sebagai salah satu ikan pemangsa air tawar yang cukup menggerunkan.
Gigi tersebut mempunyai fungsi penting untuk mencengkam dan menahan mangsa.

Diet utama aimara terdiri daripada ikan, namun ia turut dilaporkan menyerang hidupan lain seperti mamalia kecil yang berada dalam lingkungan serangannya.
Warna tubuhnya pula gelap dengan tona coklat, kelabu hingga kehitaman, bergantung kepada habitat.
Corak sebegini memberikan penyamaran yang baik ketika berada berhampiran batu, kayu tenggelam dan dasar sungai.
Aimara juga mempunyai bentuk badan yang padat dan berotot.
Tidak seperti sesetengah ikan pemangsa yang bergantung kepada profil badan panjang, bentuk tubuhnya pula lebih sesuai menghasilkan kuasa secara tiba-tiba ketika melakukan serangan.
Rekod saintifik menyenaraikan spesies ikan ini mampu mencapai sekitar 100 sentimeter panjang keseluruhan dengan berat maksimum kira-kira 40 kilogram.
Fishing tourism
Reputasi aimara menyebabkan spesies ini mempunyai nilai besar dalam sektor fishing tourism di beberapa bahagian Amerika Selatan.
Pemancing antarabangsa sanggup melakukan perjalanan jauh ke kawasan seperti Suriname, Guyana dan French Guiana untuk merasai sendiri pengalaman memburunya di habitat semula jadi.
Dalam banyak keadaan, perjalanan menuju ke lokasi memancing itu sendiri merupakan sebahagian daripada cabaran.
Justeru, khidmat jurupandu tempatan memainkan peranan penting. Pengetahuan mengenai sungai, perubahan paras air, struktur, lokasi ikan serta teknik yang sesuai boleh menentukan kejayaan sesuatu ekspedisi.
Di tengah sungai yang dikelilingi hutan tropika Amerika Selatan, satu sambaran daripada ikan serigala ini sudah cukup menjelaskan mengapa pemancing sanggup merentas separuh dunia untuk mencarinya.














