GEORGE TOWN – Seorang pekerja warga Myanmar maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 25 di sebuah tapak pembinaan kondominium di Lorong Perak, Jelutong di sini, semalam.
Mangsa yang berusia 31 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada seluruh anggota badan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.50 petang.
“Siasatan mendapati mangsa merupakan pekerja di tapak pembinaan kondominium setinggi 25 tingkat. Ketika kejadian lelaki asing itu sedang melakukan kerja-kerja pemasangan papan di tingkat 25 sebelum dipercayai terjatuh.
“Mayat lelaki itu ditemukan di tingkat 20,” katanya.
Siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah dalam kes kematian mangsa. Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang di sini untuk dibedah siasat.
Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -KOSMO! ONLINE















