fbpx
HASMAH (tengah) menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Gua Musang, Mohd. Roshdi Ismail di PPS SK Limau Kasturi 1, Gua Musang.

Hasmah Ali jaga kakak terlantar selepas diserang penyakit misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Selepas kematian ibu 11 tahun lalu, seorang wanita warga emas setia menjaga kakaknya dengan melakukan rutin harian memandikan, memberi makan dan menukar lampin pakai buang di Kampung Limau Kasturi, di sini.

Menurut Hasmah Ali, 62, dia mengambil tanggungjawab menjaga kakaknya, Siti Halijah, 64, selepas wanita itu kini memerlukan penjagaan sepenuhnya.

Katanya, Siti Halijah mula mengalami masalah kesihatan sejak berusia 17 tahun selepas menamatkan persekolahan.

“Sebelum itu, kakak saya menjalani kehidupan seperti biasa, namun keadaan berubah selepas diserang penyakit misteri. Dia dijaga oleh ibu kami yang tinggal di Kampung Bertam, dekat sini.

“Ketika itu kakak bersekolah di Kuantan, Pahang dan selepas diserang penyakit misteri, dia tinggal bersama ibu di Kampung Bertam Baru. Pada awalnya dia boleh berjalan, bercakap dan melakukan pelbagai aktiviti termasuk memasak.

“Namun lama-kelamaan keadaan semakin teruk. Sejak 17 tahun lalu, dia tidak lagi mampu berjalan atau bangun sendiri. Selepas ibu meninggal, saya ambil alih menguruskan kakak dan akan terus menjaganya” katanya ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1, di sini hari ini.

Dua beradik tersebut dipindahkan ke PPS selepas penempatan mereka dilanda banjir.

Hasmah berkata, kakaknya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

“Kakak yang merupakan anak kelima daripada sembilan beradik tidak boleh bercakap, namun boleh mendengar dan memahami percakapan. Bantuan JKM ini sedikit sebanyak dapat membantu menampung keperluan harian seperti beli lampin pakai buang dan susu khas.

“Setiap hari saya perlu mengangkat kakak untuk mandi dan menukar lampin tiga kali sehari bagi menjaga kebersihan diri. Ketika mula diserang penyakit itu, kakak pernah mengalami histeria yang teruk.

“Kalau ikut cerita orang kampung dan pengamal perubatan tradisional, ada yang mendakwa kakak terkena buatan orang, namun perkara itu tidak dapat disahkan,” katanya.

Tambahnya, dia akan tetap menjaga kakaknya kerana ia merupakan amanah yang ditinggalkan arwah ibu mereka.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Hasmah boleh menghubunginya di talian 019-9061590 atau menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 1499 5410 0013 3795.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN