SKUAD Selangor menepati ramalan apabila mempertahankan trofi Piala Agong buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada aksi final di Stadium Sungai Besar, semalam.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor terus menguasai trofi berkenaan selepas muncul juara pada edisi 2023, 2024 dan 2025.
Muhammad Aisar Fahmi membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi rembatan dalam kotak penalti sebelum A Thiruchelvan menggandakan kelebihan pada minit ke-48.
Kuala Lumpur cuba bangkit selepas ketinggalan, namun benteng Selangor kekal ampuh untuk memastikan kemenangan sehingga wisel penamat.
Kejayaan itu turut menjadi suntikan terbaik buat skuad kendalian Ahmad Fairuz Mohd Yunus menjelang saingan Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-104 yang bermula minggu depan.
Juara menerima trofi, medal dan wang tunai RM7,000, manakala Kuala Lumpur selaku naib juara membawa pulang medal serta RM3,000. – KOSMO! ONLINE
















