fbpx
Gambar hiasan.

KKM tangguh sementara perkhidmatan doktor udara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan semua operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) ditangguhkan sementara bagi membolehkan siasatan dan semakan terhadap mekanisme keselamatan dan operasi oleh pihak berkaitan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan bagaimanapun akan diteruskan melalui kerjasama KKM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pada masa sama, katanya, KKM akan mengadakan perbincangan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meneroka usaha menggunakan aset ATM bagi pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dipindahkan ke fasiliti kesihatan bersesuaian.

“KKM akan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan kerangka penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak, termasuk aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan serta keberkesanan model penyampaian perkhidmatan sedia ada.

“Penilaian ini bertujuan memastikan pendekatan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KKM juga sedang menilai semula lokasi dan kaedah akses perkhidmatan FDS, termasuk alternatif pengangkutan dan pendekatan lain yang selamat serta praktikal bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Jelasnya, KKM memahami kesulitan dan cabaran yang mungkin timbul susulan penangguhan sementara ini.

“Walau bagaimanapun, keselamatan petugas dan pesakit kekal menjadi keutamaan KKM, di samping memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

“KKM akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang awam sewajarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN