Sebahagian ahli keluarga mangsa yang hadir pada sidang akhbar Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) di Batu Caves, Gombak hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

Banjir Nepal: Keluarga rakyat Malaysia hilang rayu hantar pasukan SAR segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOMBAK – “Setiap jam sangat berharga.”

Demikian rayuan keluarga 49 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan kejadian banjir kilat di sempadan Nepal-Tibet selepas nasib kesemua mereka masih belum diketahui biarpun sudah lebih 72 jam bencana itu berlaku.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (Masfih), Dr. Manivannan Rethinam berkata, kerajaan diminta menggunakan semua saluran diplomatik dengan Nepal dan China bagi mendapatkan kelulusan segera untuk menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari negara ini.

Menurutnya, tempoh kritikal terus berlalu sedangkan tiada perkembangan jelas dalam usaha mengesan mangsa di kawasan Rasuwagadhi, termasuk di sebelah Nepal serta Tibet, China.

“Setiap jam yang berlalu tanpa perkembangan bermakna atau maklumat yang disahkan meningkatkan kebimbangan keluarga bahawa masa berharga mungkin terbuang dalam usaha mencari dan menyelamat insan tersayang.

“Kami percaya semua sumber mencari dan menyelamat yang ada perlu dipertimbangkan dan digerakkan sekarang,” katanya pada sidang akhbar di Batu Caves di sini hari ini.

Mangsa yang hilang membabitkan tiga kumpulan iaitu 23 rakyat Malaysia bersama tiga warga Singapura di bawah Leaf Holiday, Dream Tibet Travels and Tours (9) dan Fishtail Tours and Travels (17).

Katanya, lokasi terakhir kumpulan itu dikesan sekitar sempadan Rasuwagadhi Nepal-Tibet dan kemungkinan mereka berada berhampiran imigresen, sedang menyeberangi sempadan atau bergerak menuju Gyirong atau Kerung, Tibet.

Malah katanya, keluarga mempunyai rekod lokasi terakhir dan mesej mangsa kira-kira 15 minit sebelum bencana dahsyat itu melanda kawasan berkenaan.

“Kita boleh mengecilkan radius pencarian kepada 20 kilometer kerana mempunyai mesej terakhir dan lokasi terakhir mereka.

“Rakaman CCTV (televisyen litar tertutup) di Imigresen Tibet menunjukkan banjir melanda kawasan itu kira-kira pukul 10.59 pagi (waktu Malaysia),” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan mendapatkan maklumat terus daripada pihak China berhubung operasi SAR, senarai mangsa terselamat dan korban atau rakyat Malaysia yang ditemui di Tibet.

Menurutnya, keluarga ketika ini menerima lebih banyak maklumat mengenai perkembangan di Nepal, namun hanya sedikit atau tiada maklumat berhubung situasi di Tibet.

Tambahnya, keluarga bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya inginkan jawapan, penyelarasan dan tindakan segera bagi membawa pulang insan tersayang dengan selamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN